
“Moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan dikurniakan kepada keluarga Allahyarham ketabahan ketika mendepani saat sedih ini. Mohon sedekahkan doa buat Allahyarham,” tulis bekas perdana menteri itu di Facebooknya.
PAS Selangor turut merakamkan takziah kepada keluarga Khalid, dengan Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan pemergian “anak Selangor yang luar biasa” itu sebagai kehilangan besar buat rakyat dan negara.
“Sesungguhnya Allahyarham anak jati Jeram, Kuala Selangor adalah negarawan terbilang, menteri besar yang terbaik dalam rekod, yang cukup kompeten, bersih dan paling berintegriti.
“Allahyarham sangat dihormati dan disayangi rakyat jelata negeri ini, termasuklah oleh ahli-ahli PAS seluruh Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, beliau banyak belajar daripada nasihat dan cara pentadbiran Khalid, ketika julung kali dipilih sebagai ADUN Subang Jaya pada 2008.
Yeoh, yang pernah menjadi speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari 2013 hingga 2018, memuji Khalid yang menyokong penduduk mempertahankan taman rekreasi Subang Ria dan membantu pembinaan sebuah jejantas.
Beliau menyifatkan Khalid sebagai pemimpin yang berhemah dengan wang pembayar cukai, yang boleh disalurkan kembali kepada rakyat melalui program ekonomi.
“Beliau adalah menteri besar yang baik. Ia adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa Selangor lebih makmur di bawah pimpinannya. Saya bersyukur dapat mempelajari perkhidmatan awam dengannya dan pengajaran serta kenangan tidak ternilai ini akan dikenang selamanya,” tulisnya di Facebook.
Khalid menjadi menteri besar Selangor dari 2008 hingga September 2014, sebelum selepas beliau dipecat daripada PKR kerana enggan melepaskan jawatan itu.
Beliau menyertai PKR pada 2006 dan kemudian dilantik bendahari agung. Pada pilihan raya umum 2008, beliau dipilih sebagai ADUN Ijok dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta dilantik sebagai menteri besar selepas Pakatan Rakyat berjaya menawan Selangor.
Azmin Ali, yang menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor, berdukacita dengan pemergian Khalid.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Moga mereka tabah dan sabar menghadapi ujian ini,” tulisnya di Facebook.
Tricia Yeoh, ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, berkata beliau bekerja di bawah Khalid sebagai pegawai penyelidik di pejabatnya dari 2009 hingga 2011, khasnya untuk pakej rangsangan ekonomi.
Beliau memuji Khalid yang rendah diri, tabah dan berani kerana sentiasa berusaha melakukan “perkara betul” serta mendahulukan orang lain melebihi dirinya.