Budak 4 tahun lemas di kolam renang dewasa

Budak 4 tahun lemas di kolam renang dewasa

Polis berkata sebelum kejadian mangsa dilihat bermain di tepi kolam renang bersama anak saudara ibunya.

Polis berkata beberapa individu dewasa di inap desa itu tidak menyedari kejadian ketika sedang sibuk membuat persiapan makanan.
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dijumpai tertiarap oleh ibunya dalam kolam renang dewasa ketika mengikuti keluarganya ke inap desa, di Kuala Kangsar, semalam.

Ketua Polis Kuala Kangsar, Omar Bakhtiar Yaacob, berkata mangsa kali terakhir dilihat bapanya kira-kira 6 petang ketika bermain di tepi kolam renang berkenaan bersama anak saudaranya yang lain.

“Bapa mangsa kemudian masuk ke inap desa untuk membuat persiapan makanan, namun kira-kira setengah jam selepas itu ibu mangsa yang mahu mencarinya mendapati kanak-kanak itu di kolam renang dewasa dalam keadaan tertiarap.

“Ketika kejadian terdapat beberapa individu dewasa sedang sibuk membuat persiapan makanan, manakala kanak-kanak bermain di bahagian luar. Semuanya tidak perasan bagaimana mangsa boleh berada di dalam kolam renang berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa selepas itu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar dan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sebelum disahkan meninggal dunia, kira-kira 1.10 pagi tadi.

Menurutnya, hasil bedah siasat Forensik HRPB mendapati punca kematian adalah “post drowning” iaitu lemas dengan tiada kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan.

Omar Bakhtiar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Kangsar di talian 05 7762222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.