
Kisah Hanan yang lebih dikenali sebagai Hanan Mikhael dalam kalangan pengikutnya, sebelum ini tular di media sosial selepas berkongsi pengembaraan secara solonya di Eropah selama dua tahun ketika bergelut dengan sakit skizofrenia dan bipolar.
Semasa ‘pengembaraan’ itu, beberapa kali wanita berumur 30an itu tergamak memikir mengambil nyawa sendiri, namun kekuatan mental membawa kesedaran untuk kembali ke tanah air bagi menjalani rawatan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.
Kini, keadaannya jauh lebih stabil dan selain mengambil ubat, Hanan turut melukis sebagai sumber ketenangan dan seterusnya memperolehi ilham untuk menjadikan minat itu sebagai sumber pendapatan.
Dalam tempoh tiga bulan lalu, pelajar jurusan seni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menyiapkan 20 naskah lukisan kanvas dan semuanya di beli oleh warganet menerusi media sosial.

“Bila buat lukisan tu, sebetulnya tak ada niat nak jual. Saya memang niat buat (lukisan) untuk terapi saya. Mula-mula cuba di (kanvas) kecil, seronok pula. Saya ambil (kanvas) besar, buat lagi seronok. Bila post (di Facebook) ada yang nak beli pula. Kebetulan jadi rezeki pula untuk saya. Alhamdulillah.
“Kalau orang ada (penyakit) skizofrenia atau bipolar dia susah nak bekerja dengan orang. Kita kena cari benda yang kita suka, untuk dijadikan sumber pendapatan. Sebab kita memang susah nak bekerja dengan orang,” katanya kepada FMT.
Hanan mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) selepas didiagnosis sebagai pesakit skizofrenia dan bipolar pada 2015.
“Saya nak mengembara ke Eropah selama setahun tapi takdir Allah, (tempoh mengembara) itu terheret jadi dua tahun (disebabkan) masalah mental itu. Doktor dah bagi ubat, saya yang tak makan ubat saya. Itu yang menyebabkan sakit saya ‘trigger’ (tercetus) kat sana (Eropah).
“Saya jadi takut sebab selalu rasa nak bunuh diri. Semua (macam) perasaan, ada. Dari situ saya kata pada diri, ‘eh, aku kena balik (ke Malaysia) ini’,” ceritanya.
Sebaik tiba di tanah air, Hanan di masukkan di wad psikiatri Hospital Selayang selama dua bulan, berikutan keadaannya agak teruk.
Selepas rawatan dan ‘rajin’ mengambil ubat psikiatri, beliau kembali melukis dan keputusan itu membantu lagi memberikan ketenangan mental buatnya.

“Bila saya melukis, dia main warna, garis dan lukisan tu semua, otak saya berjalan. Bila saya rasa nak marah, saya cuba masuk (melukis), lepas conteng-conteng saya akan rasa lega. Macam seronok pula bila buat (melukis),” katanya.
Konsep lukisan yang dibawa Hanan adalah ‘Acrylic on Canvas’, kadang-kala ‘Mix Media & Acrylic on Canvas’ yang bersifat abstrak.
Hanan menerima rawatan secara percuma di hospital kerajaan kerana memegang kad OKU, namun ada ketikanya dia tetap perlu ke klinik psikiatri swasta untuk mendapatkan sesi terapi.
Hanan bertuah kerana rakan serumah, Aida Abdul Rahman, memahami dan sangat membantunya melalui waktu sukar.
Aida, 35, selalu ditanya rakan sama ada bimbang keselamatan diri apabila tinggal serumah dengan pesakit kecelaruan mental.

Beliau berkata Hanan adalah rakan karibnya dan persoalan itu tidak pernah terlintas di fikirannya malah mempunyai beberapa petua tersendiri untuk membantu sahabatnya apabila berdepan detik-detik ‘sukar.’
“Pastikan dia makan ubat setiap hari dan insya Allah, benda (penyakit) itu akan ok. Bila ‘mood’ dia tak ok, saya suruh dia mandi sebab air itu membantu (memulihkan) atau saya beri dia makan hirisan limau buah. Rasa masam akan potong ‘mood’ tak ok dia. Saya pun bawa dia jalan-jalan naik kereta, ambil angin dan lepas itu dia akan ok,” kata Aida.
Aida yang menjadi ‘dropship’ kepada beberapa produk, aktif menjual atas talian, memberitahu dia dan Hanan merancang untuk mengembara bersama ke Eropah dan membuat kandungan bervideo untuk saluran Youtube mereka.
“Perancangan kami nak mengembara macam sebelum ini dia buat. Tapi kali ini berdua,” katanya mengakhiri sesi temuramah bersama FMT.