Kes skizofrenia meningkat, pakar gesa tambah pakar psikiatri

Kes skizofrenia meningkat, pakar gesa tambah pakar psikiatri

Pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Fauziah Mohd Saad berkata penyakit itu memerlukan rawatan jangka panjang dan pemantauan berterusan.

Pakar berkata menambah bilangan pakar psikiatri akan membantu mereka yang memerlukan rawatan susulan berterusan.
PETALING JAYA:
Pakar melihat terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan menangani isu kekurangan pakar psikiatri terutamanya di hospital luar bandar serta fasiliti rawatan komuniti yang terhad.

Ia lebih diperlukan ketika hospital kerajaan baru-baru ini dilaporkan mencatatkan peningkatan 14.6% pesakit skizofrenia tahun lalu berbanding 2021.

Fauziah Mohd Saad
Fauziah Mohd Saad.

Pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Fauziah Mohd Saad, berkata penambahan bilangan pakar psikiatri akan menyokong pesakit terbabit yang memerlukan rawatan susulan berterusan.

Katanya, usaha itu mungkin boleh dilaksanakan menerusi biasiswa latihan dan penempatan di hospital daerah.

“Skizofrenia memerlukan rawatan jangka panjang dan pemantauan berterusan, bukan sekadar rawatan episodik ketika krisis.

“Pesakit memerlukan pemulihan berasaskan komuniti, pusat perlindungan separuh jalan dan program integrasi pekerjaan.

“Selain penambahan pakar psikiatri, rawatan komuniti boleh diperkasa selain melatih barisan hadapan termasuk doktor keluarga, kaunselor dan pegawai kebajikan untuk mengesan dan menyokong pesakit lebih awal,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata jumlah pesakit skizofrenia yang direkodkan hospital kerajaan ialah 7,468 orang pada 2022, meningkat 3% berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah itu terus meningkat kepada 8,481 pesakit pada 2023, sebelum berkurangan sedikit kepada 8,303 orang tahun lalu.

Dr Andrew Mohanraj
Dr Andrew Mohanraj.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr Andrew Mohanraj, berkata peningkatan itu mungkin disebabkan oleh peningkatan pengesanan dan kesedaran.

Katanya, ia menunjukkan perkhidmatan kesihatan mental yang lebih baik di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu berusaha meningkatkan bilangan ahli psikologi klinikal dan kaunselor yang merupakan sebahagian daripada pasukan rawatan.

“Hospital swasta boleh membantu dengan memulakan perkhidmatan psikiatri pesakit dalam. Ini akan mengurangkan beban penjagaan di hospital awam.

“Sektor swasta juga mesti melaksanakan peranannya daripada hanya menumpukan pada pulangan ekonomi atau memberi alasan yang lemah untuk tidak mahu menyediakan perkhidmatan psikiatri kepada pesakit dalam di hospital mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.