
Wakil kumpulan jemaah, Mohd Hanif Mohd Salleh, 57, berkata, beberapa orang daripada mereka malu untuk pulang ke rumah dan mahu menunggu sehingga semua jemaah haji pulang pada 3 Ogos ini.
“Sebenarnya kita melihat kesan buruk daripada peristiwa ini, kesan buruknya banyak gangguan emosi mereka tidak balik ke rumah, ada diantara mereka tidak mahu balik rumah lagi, ada yang tunggu 3 Ogos baru mereka balik rumah.
“Tekanan emosi ini berlaku kepada mereka, ada yang dah berangan nak beli buah tamar, beli kacang, kismis dan sebagainya untuk diberi kepada jiran,” katanya pada sidang media di firma guaman Tetuan Toriq Seth and Partner, Bandar Baru Bangi.
Hanif berkata, semua jemaah sedia maklum dengan risiko visa furada, namun kejadian yang berlaku kepada jemaah bukanlah risiko tetapi satu penipuan.
“Ini bukan risiko selepas pihak peguam siasat dengan syarikat penerbangan maklumat penerbangan yang diberikan itu sebenarnya tidak wujud pun, malah permohonan visa pun tidak dibuat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hanif yang juga seorang pendakwah bebas menggesa campur tangan agensi kerajaan yang terlibat agar lebih tegas dengan isu penipuan seperti ini kerana ia bukan sahaja mencemarkan nama baik negara, tetapi industri pelancongan juga.
“Kita tidak mahu perkara ini berlaku saban tahun dan jawapannya masih sama, kita tidak mahu jawapan yang sekadar melepaskan ‘batuk di tangga’, kita harapkan tindakan lebih tegas.
“Ada lagi segelintir individu yang terlibat belum diambil tindakan, bukan nak tuduh secara rambang, tapi semua pihak perlu berlaku adil tak kira sama ada Tabung Haji atau polis,” katanya.
Awal hari ini, seramai 111 bakal jemaah haji yang terkandas itu dijangka membuat tuntutan sivil terhadap sebuah agensi pelancongan berkenaan, menerusi firma guaman Tetuan Toriq Seth and Partner.
Pada 7 Julai lalu, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Susulan daripada insiden itu, Ketua Polis Wangsa, Maju Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, lima individu iaitu dua lelaki dan tiga wanita antara mereka merupakan pemilik agensi pelancongan berkenaan ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di ibu negara pada 8 Julai lalu.