Bekas KP Jakim dinobat Tokoh Maal Hijrah 2022

Bekas KP Jakim dinobat Tokoh Maal Hijrah 2022

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sempena majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan, semalam.

Tokoh Maal Hijrah, Othman Mustapha (kiri) dan Othsman Hassan (kanan) bersama pingat yang diterima pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H dan Majlis Bacaan Yasin Hari Pahlawan Tahun 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan 1444H/2022M.

Menteri Kanan Hal Ehwal Islam Kemboja Othsman Hassan pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa.

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sempena majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh berkenaan menerima pingat dan sijil penghargaan.

Othman, 66, yang dilahirkan di Tumpat, Kelantan mendapat pendidikan awal di Maahad Muhammadi Kota Bharu sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam (Syariah) Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1982.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jakim dari April 2011 hingga 2018 dan Pegawai Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 1992 hingga Jun 1997.

Sementara itu, Othsman, 68, yang dilahirkan di Kampung Trapaing Chouk, Wilayah Kompong Thom, Kemboja, merupakan tokoh yang dihormati di peringkat nusantara mahupun antarabangsa berikutan sumbangannya dalam pembangunan Islam di Kemboja.

Beliau kini merupakan Presiden Pusat Islam Phnom Penh (PPIC) dan Naib Presiden Jawatankuasa Pemandu Halal Kemboja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.