Sarawak hargai bakat, akan terus iktiraf UEC

Sarawak hargai bakat, akan terus iktiraf UEC

Timbalan Menteri Pendidikan Sarawak, Dr Annuar Rapaee berkata, pendidikan perlu bersifat progresif.

UEC merupakan sijil peperiksaan standard sekolah persendirian Cina di Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang timbalan menteri Sarawak berjanji negeri itu akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), walaupun Putrajaya keberatan berbuat demikian.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Dr Annuar Rapaee berkata, kerajaan Sarawak sentiasa menghargai bakat.

“Ia satu pembaziran modal insan sekiranya kita tidak mengiktiraf UEC,” katanya kepada FMT, dengan menambah kerajaan negeri menyediakan geran sehingga RM10 juta setahun kepada sekolah Cina persendirian.

Sarawak mengiktiraf UEC sejak 2014 yang membolehkan pemegang sijil itu menyertai perkhidmatan awam negeri, memohon biasiswa dari Yayasan Sarawak, malah memasuki Universiti Teknologi Sarawak milik kerajaan negeri.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin bahawa kementeriannya kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf UEC kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Annuar berkata, dunia kini tiada sempadan dan kerajaan tidak patut menyekat sesiapa pun daripada mendapat pendidikan pilihan mereka.

“Pendidikan sepatutnya bersifat progresif dan membolehkan modal insan lebih baik serta pelbagai.

“Kebebasan pendidikan sama pentingnya dengan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi.”

Katanya, Putrajaya wajar “mempertimbangkan secara serius” desentralisasi pendidikan dan “Biar kerajaan negeri memutuskan apa yang terbaik untuk negeri masing-masing berdasarkan keperluan mereka. Peranan kerajaan persekutuan sepatutnya lebih kepada menyokong kerajaan negeri secara kewangan dalam hal pendidikan.”

Selain pengiktirafan UEC, kerajaan Sarawak juga giat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Awal bulan ini, Annuar dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan pelajarnya fasih berbahasa Inggeris bagi membolehkan mereka cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai masa depan cerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.