
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata laluan pelajar sekolah berkenaan untuk ke pendidikan tinggi tidak lagi harus menjadi kontroversi dengan kaedah ini.
“Kita terima baik asalkan syarat ini diterima,” katanya dalam ucapan sempena peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar memaklumkan majoriti rakyat bersetuju tentang penguasaan bahasa kebangsaan dan mahu ia dilaksanakan, dan kerajaan mahu memperkemaskan perlaksanaannya.
“Negara ini telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi maka penguasaan bahasanya bukan sekadar menguasai, tapi harus ditingkatkan sebagai bahasa lingua franca dan juga bahasa ilmu. Maka, kurikulum bahasa di sekolah dan universiti juga harus ditingkatkan seiring dengan tuntutan masa.
“Sebab itu, kita mulai sekarang, saya jelaskan tentang keperluan bahasa dan menuntut supaya semua sistem pendidikan dalam negara kita menetapkan dan mewajibkan bahasa Melayu mengikut kurikulum kementerian, termasuk sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).”
Anwar berkata pihaknya mengambil maklum bahawa ramai pelajar daripada sekolah agama dan sekolah yang menawarkan UEC mengambil SPM, termasuk bahasa Melayu.
“Bila kita perkenalkan pembakuan, maksudnya penyeragaman dan peningkatan mutu penguasaannya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir, pada sidang media di majlis sama menyifatkan pendekatan ini sebagai menyeluruh, melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan dalam negara, termasuk institusi yang berada di luar sistem pendidikan nasional.
“Pendekatan ini diambil bagi mengelakkan isu pendidikan dilihat daripada sudut satu kaum atau satu aliran semata-mata, sebaliknya mencari penyelesaian yang lebih komprehensif dan adil,” katanya.
Beliau mengumumkan kerajaan akan melaksanakan suatu penyelarasan, antara kementeriannya dan Kementerian Pendidikan.
“Segala sistem pendidikan yang sebelum ini tidak berteraskan pendidikan nasional perlu memenuhi kriteria ditetapkan terlebih dahulu, iaitu pengajaran bahasa Melayu dan sejarah Malaysia, sebelum langkah seterusnya berkaitan pengambilan pelajar ke universiti awam dapat dipertimbangkan,” katanya.