Tangguh 3 tahun larangan generasi merokok, gesa jawatankuasa Parlimen

Tangguh 3 tahun larangan generasi merokok, gesa jawatankuasa Parlimen

Langkah ini bagi memastikan dasar itu dapat dilaksanakan dengan berkesan, kata pengerusinya, Kelvin Yii.

Kelvin Yii berkata, penangguhan tiga tahun itu diperlukan untuk menilai keperluan undang-undang berasingan bagi produk tembakau berlainan.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan menggesa Putrajaya menangguhkan selama tiga tahun pelaksanaan larangan generasi merokok dan pemilikan produk tembakau.

Pengerusinya, Dr Kelvin Yii menegaskan bahawa jawatankuasa itu menyokong rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau dan merokok, namun pelaksanaannya patut ditangguhkan selama tiga tahun agar kerajaan mempunyai lebih masa untuk membuat persediaan dan memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu juga berkata, tiga tahun itu diperlukan untuk menilai keperluan undang-undang berasingan bagi produk tembakau mudah terbakar dan tidak mudah terbakar, serta vape, selaras dengan sains dan data yang muncul.

Beliau berkata, undang-undang itu hanya patut dilaksanakan selepas penilaian selesai dan dibahaskan di Parlimen.

“Kami mengiktiraf kebimbangan berlainan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan dan melihat kepentingan menangani jurang pelaksanaan tertentu serta menetapkan rangka kerja semakan dan pemantauan mandatori untuk memastikan akta itu mencapai sasaran,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU kawalan tembakau dan merokok itu di Dewan Rakyat semalam, yang bertujuan untuk melarang penjualan rokok, tembakau dan produk vape kepada individu yang lahir selepas 2007.

Yii turut menggesa agar “klausa penilaian mandatori” dimasukkan dalam RUU itu untuk membolehkan PSC menyusun laporan penilaian mengenai akta yang telah dikuatkuasakan nanti, yang kemudiannya akan dibawa ke Parlimen.

Beliau berkata, penilaian ini perlu diadakan 10 tahun selepas akta itu dikuatkuasakan untuk mengukur tahap pematuhan dan keberkesanannya.

Yii turut menentang gesaan agar pesalah juvana yang melanggar Akta itu dihadapkan dengan hukuman jenayah dan penjara, sambil menambah kesalahan mereka tidak sepatutnya direkodkan dalam sistem.

Beliau sebaliknya mencadangkan agar belia yang ditangkap memiliki produk tembakau menjalankan khidmat masyarakat, menjalani kaunseling dan dikenakan denda “munasabah” bagi kesalahan kali pertama.

“Jawatankuasa mengesyorkan agar terapi gantian nikotin (NRT) dipasarkan secara terbuka di kaunter dan dijadikan tersedia dengan mudah, selain peningkatan peruntukan untuk program mQuit.

“Sekurang-kurangnya 10% cukai yang dikutip daripada industri vape mesti diperuntukkan bagi program mQuit,” katanya.

MQuit ialah program kerjasama yang menyediakan rancangan tersuai untuk menghentikan tabiat merokok, serta sumber dan nasihat tentang usaha itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.