
Menurut Berita Harian, Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimatussa’diah Daud, 61, yang hadir ke mahkamah dengan berpakaian kasual sempat memberi amaran kepada petugas media agar tidak menularkan kes berkenaan.
“Jangan viral, okay”, kata pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 itu sebelum memasuki kamar bicara.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur ‘Atiqah Sapari.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mak Wan didakwa dengan sengaja meludah Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan, di alamat Lorong Haji Wahab, Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, Taiping, kira-kira 7 malam, 24 Jun lalu.
Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika disabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, menawarkan jumlah jaminan RM5,000 terhadap tertuduh sebelum majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Ia selepas peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, T Selvadoray meminta mahkamah mengambil kira pendapatan tertuduh yang tidak menentu kerana bekerja secara sambilan, selain ibu tunggal kepada empat anak.
Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam, pada 5 Sept.
Sebelum ini, media melaporkan Mak Wan membuat laporan di Balai Polis Taiping, kerana kes berlaku di Batu Kurau membabitkan antara dirinya dengan bekas pembantu peribadinya dikenali sebagai Amell.
Isu membabitkan pelakon itu mendapat perhatian umum sejak Jun lalu melibatkan konflik bersama bekas pembantu peribadinya itu.