Tuntutan palsu PenjanaKerjaya: NGO gesa siasat menteri, pemimpin parti politik

Tuntutan palsu PenjanaKerjaya: NGO gesa siasat menteri, pemimpin parti politik

Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) mendakwa mereka mempunyai bukti berdasarkan aduan individu ditipu melalui program PenjanaKerjaya.

Mani Maran Manickam berkata, SPRM perlu siasat seorang anggota Kabinet serta beberapa pemimpin parti politik kerana disyaki menjadi dalang berkaitan tuntutan palsu dan penyelewengan dana itu.
PETALING JAYA:
Sebuah NGO menggesa siasatan dilakukan ke atas seorang anggota Kabinet serta beberapa pemimpin parti politik kerana disyaki menjadi dalang berkaitan tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) Mani Maran Manickam berkata, pihaknya telah membuat laporan dan menyerahkan dokumen yang didakwa sebagai bukti berhubung kes itu, di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

“Setakat ini, apa yang kami nampak SPRM hanya menyiasat dan menahan individu yang berkaitan dengan syarikat yang didakwa menyelewengkan dana.

“Namun beberapa individu termasuk beberapa pemimpin parti politik dari parti tertentu masih ‘tidak disentuh’. Kami nak mereka semua termasuk seorang menteri disiasat,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Bagaimanapun, Mani Maran tidak menamakan mana-mana pemimpin parti atau menteri secara khusus.

Sementara itu, media melaporkan, SPRM telah menahan 37 individu menerusi Op Hire bagi membantu siasatan isu ini. Setakat 20 Julai lalu, seramai 45 individu telah ditahan bagi membantu siasatan SPRM.

Mani Maran berkata, pihaknya telah menyerahkan nama-nama yang dimaksudkan kepada SPRM.

“Kami sangat pasti beberapa pemimpin dari sebuah parti politik mempunyai peranan besar dalam penyelewengan ini. Kini terserah kepada SPRM sama ada memanggil mereka untuk membuat siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata, bukti yang diserahkan hari ini adalah berdasarkan aduan individu ditipu melalui program PenjanaKerjaya.

“Kami menerima lebih 30 aduan setakat ini dan lebih 30 lagi telah menghubungi kami mengatakan mereka telah ditipu.

“Modus operandi adalah individu ini didaftar oleh syarikat tertentu dengan janji akan menerima RM600 selama enam bulan.

“Tapi, mereka hanya terima wang selama tiga bulan sahaja. Bakinya dituntut daripada Perkeso tetapi tidak dibayar kepada mereka,” dakwanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.