Dituduh curi RM100, remaja melecur dibakar rakan

Dituduh curi RM100, remaja melecur dibakar rakan

Mangsa disyaki disimbah cecair dipercayai minyak sebelum badannya dinyalakan api.

Polis berkata lima individu berusia 18 hingga 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Remaja lelaki berusia 15 tahun melecur dari bahagian leher sehingga belakang badan dipercayai dibakar sekumpulan rakannya kerana didakwa mencuri RM100, dalam kejadian di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman, Terengganu.

Kejadian itu hanya disedari keluarganya selepas mangsa pulang ke rumah dalam keadaan menangis sambil meminta bantuan pada 3 pagi, semalam.

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata mangsa disyaki disimbah cecair dipercayai minyak sebelum badannya dinyalakan api.

Katanya, remaja lelaki itu mendakwa dibakar rakannya sebelum dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

“Siasatan awal mendapati, badan mangsa telah dibakar oleh beberapa rakannya yang menuduhnya mencuri wang tunai bernilai RM100.

“Mangsa dipercayai disimbah cecair disyaki minyak sebelum dinyalakan api menyebabkan badannya melecur,” katanya menurut Kosmo.

Hanyan berkata, setakat ini lima individu berusia 18 hingga 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis sedang memburu beberapa suspek lain termasuk dalang utama dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.