
Beliau berkata, satu sesi libat urus perlu diadakan dengan pelbagai pihak sebelum undang-undang baharu itu dapat diperkenalkan.
Katanya, cadangan pelaksanaan dasar penggubalan RUU sumbangan politik telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada 19 Mei lalu.
“Skop dasar bagi RUU tersebut telah dipersetujui untuk dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan, selaras dengan dasar semasa kerajaan.
“Kajian juga perlu dibuat selaras dengan dasar yang ditetapkan di bawah Laporan Semakan Semula Pelan Antirasuah Nasional (NACP) berhubung kajian penggubalan RUU baharu berkaitan sumbangan dana politik melalui inisiatif 1.2.3 ,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) bilakah RUU pendanaan parti politik dan reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dibentangkan di Parlimen.
Soalan sama turut ditanya beberapa Ahli Parlimen menerusi soalan bertulis.
Mei lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, mesyuarat JKKMAR secara dasar bersetuju dengan cadangan pelaksanaan dasar penggubalan RUU sumbangan politik.
Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Jemaah Menteri sebelum sesi libat urus dengan parti politik.
Mengenai reformasi SPR, Wan Junaidi berkata, buat masa ini, suruhanjaya itu tidak bercadang membuat sebarang pembaharuan untuk dibentangkan di Parlimen.