
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, menerusi semakan dan siasatan, polis berpendapat kemungkinan Zalina hilang lebih awal daripada tarikh yang dilaporkan.
“Kalau anaknya tidak cuba telefon, kita pun tidak tahu dia hilang. Berkemungkinan Zalina telah hilang lebih awal, tapi tidaklah awal sangat sebab kita dah semak dan pada 20 Nov didapati telefonnya telah dimatikan (tiada rekod panggilan keluar atau masuk).
“Sama ada kerana sudah habis bateri itu kita tidak dapat pastikan,” katanya kepada Bernama ketika melawat rumah wanita berusia 58 tahun itu bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Senator Ras Adiba Radzi.
Iqbal berkata, keadaan rumah Zalina yang didapati tidak tersusun disebabkan ia dalam proses pengubahsuaian untuk menjadi sebuah galeri.
Sementara itu, beliau dalam kenyataan berkata, polis sedang mengesan pekerja yang pernah melakukan kerja pengubahsuaian bagi membantu siasatan kes kehilangan bekas personaliti televisyen itu.
“Kita masih menjalankan siasatan, kini sedang mengesan pekerja-pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian kediaman itu (rumah Zalina) yang mungkin boleh membantu siasatan.”
Setakat ini, katanya, enam individu telah dipanggil dan dirakam keterangan sejak laporan polis mengenai kehilangan itu dibuat.
Sebelum ini, Iqbal dilapor berkata, Zalina dipercayai masih berada dalam negara kerana tiada pergerakan wanita itu keluar yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.
Polis menerima laporan mengenai kehilangan itu daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov 2021 yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.