
Katanya, kenaikan kepada RM11,000 bagi setiap ADUN itu juga dilihat masih rendah, berbanding negeri jiran, Sarawak, yang menetapkan RM15,000.
“Kita sudah ketinggalan, kita antara yang terendah dalam Malaysia. ADUN-ADUN kita pun kasihan juga macam mana mahu beroperasi kalau gaji RM7,000 sahaja.
“Sarawak sudah RM15,000, kita hanya setengah, jadi kita naik hanya RM11,000 sahaja. Syukurlah ada kenaikan sikit dan hanya menelan belanja RM5.6 juta,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Pada 19 Jul, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul menaikkan saraan ketua menteri, ADUN dan anggota pentadbiran negeri lain.
Usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri Hajiji Noor itu diluluskan dengan suara terbanyak.
Dengan kelulusan itu, saraan ketua menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; timbalan ketua menteri RM20,872.50 (RM29,221.50); menteri RM16,335 (RM22,869); speaker DUN RM16,335 (RM22,869); pembantu menteri RM12,705 (RM17,787); timbalan speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130); dan setiausaha politik RM5,445 (RM7,623).
Hajiji yang juga menteri kewangan Sabah ketika menggulung usul itu berkata, implikasi kewangan kerajaan negeri untuk pelaksanaan kenaikan saraan itu dilihat tidak terlalu berat dan hanya melibatkan jumlah RM5.6 juta setahun.