Bertanding dalam PRU kalau mahukan perubahan, Dr M beritahu NGO

Bertanding dalam PRU kalau mahukan perubahan, Dr M beritahu NGO

Bekas perdana menteri berkata, ada NGO yang mahu Malaysia menjadi negara hebat, namun malangnya mereka bukan entiti politik.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata NGO boleh bertanding sebagai calon untuk parti yang ‘bersih’ tanpa menyertai parti berkenaan.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad berkata, NGO khususnya kumpulan antirasuah wajar meletakkan calon dalam pilihan raya umum (PRU) dan bertanding di bawah satu lambang untuk membantu mewujudkan kerajaan yang bersih.

Bekas perdana menteri berkata, ada NGO yang mahu Malaysia menjadi negara hebat, namun malangnya mereka bukan entiti politik.

Disebabkan itu mereka hanya boleh memujuk ahli politik menolak rasuah dan mengajak pengikut mereka memilih calon yang bersih, kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Secara alternatif, katanya, NGO berkenaan boleh bertanding sebagai calon untuk parti yang “bersih” tanpa perlu menyertai parti berkenaan.

Menurutnya mereka wajar menggunakan strategi pembangkang ketika PRU14 dengan bertanding di bawah satu lambang.

Parti komponen Pakatan Harapan (PH) semuanya bertanding di bawah lambang PKR pada 2018.

“Strategi sama boleh digunakan dalam PRU15. Dengan cara ini, NGO diletakkan dalam kedudukan lebih baik untuk melaksanakan perjuangan mereka, namun sudah pasti mereka memerlukan izin parti yang simbol dan benderanya mahu digunakan,” katanya di Twitter.

Tambahnya, ramai pengundi menganggap tiada pilihan selain daripada mengundi untuk ahli politik yang korup.

“Ramai yang berkata tiada pilihan. Semua ahli politik korup. Mujurlah ini tidak tepat. Ada ahli politik yang tidak korup, yang mencintai negara dan mahu Malaysia sekali lagi menjadi Harimau Asia.”

Semalam, pergerakan antirasuah Rasuah Busters menyelar ahli parlimen kerana dianggap tidak cukup berusaha mendesak lebih banyak undang-undang bagi memerangi rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.