
Shell Malaysia Wilayah Utara antara yang tampil memberi bantuan kepada Azmi selepas kisahnya disiarkan FMT.
Syarikat minyak dan gas itu berkunjung ke rumah Azmi dan menyampaikan bantuan berupa alat fertigasi pertanian sekali gus membolehkannya meraih pendapatan tetap bagi menyara keluarga.

“Alhamdulillah, nasib saya mendapat perhatian pihak Shell. Mereka datang menyerahkan peralatan pertanian, ini menambahkan semangat untuk saya berusaha mengeluarkan lebih banyak hasil.
“Saya turut menerima beberapa panggilan telefon daripada orang awam. Mereka mahu menghulurkan sumbangan,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, sumbangan diberikan kepadanya akan digunakan sebaik mungkin sekali gus mencerahkan masa depan dia, isteri dan anak pada masa akan datang.

“Dengan sumbangan diberikan, saya akan gunakan untuk membeli kelengkapan isteri termasuk susu,” katanya yang menjaga isteri, Hasnah Abu Hassan, 49, yang terlantar sejak lapan tahun lalu akibat strok.
Sebelum ini, FMT melaporkan, Azmi terpaksa menggunakan plaster untuk membuka kelopak mata isterinya yang terlantar akibat penyakit itu.

Azmi menjaga isteri dan anaknya yang masih bersekolah, mengusahakan kebun berdekatan rumahnya bagi menyara keluarga.
Mereka yang menghulurkan sumbangan kepada Azmi antaranya Peruncit-peruncit Shell Malaysia dan Syarikat Provops Sdn Bhd.