‘Flashmob’ harga barang naik, polis ‘lawat’ ibu pejabat Amanah

‘Flashmob’ harga barang naik, polis ‘lawat’ ibu pejabat Amanah

Kehadiran polis selepas Presiden Amanah, Mohamad Sabu disoal siasat selama dua jam di Bukit Aman semalam berhubung satu klip video yang mengumumkan beberapa siri flashmob untuk membantah kenaikan harga barang.

Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai ‘flashmob’, yang dianggap perhimpunan haram kerana dianjurkan tanpa kebenaran polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis “melawat” ibu pejabat Amanah di Jalan Kuching, Kuala Lumpur bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan “flashmob” kenaikan harga barang anjuran parti itu minggu lalu.

Menerusi satu kenyataan, parti itu berkata kehadiran polis dibuat tanpa sebarang pemberitahuan awal dan seorang pegawai wisma terbabit telah dipanggil untuk hadir ke Bukit Aman bagi merekodkan keterangan.

Ia selepas Presiden Amanah, Mohamad Sabu disoal siasat selama dua jam di Bukit Aman semalam berhubung satu klip video yang mengumumkan beberapa siri “flashmob” untuk membantah kenaikan harga barang.

“Kami mengecam tindakan intimidasi yang terus dilakukan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN)/Perikatan Nasional (PN), walaupun isu yang diperjuangkan adalah bagi kepentingan rakyat keseluruhannya iaitu berkaitan kenaikan harga barang,” kata Peguam Biro Undang-undang Amanah (Kanun) Fadhli Umar Aminolhuda.

“Walaubagaimanapun, kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak PDRM yang saya percaya hanya menjalankan arahan sahaja.”

Tambahnya, kerajaan harus memberi fokus terhadap usaha memerangi sindiket minyak peket serta jenayah lain yang berkait rapat dengan kenaikan harga barang dan bukannya sibuk untuk menghalang dan mendiamkan suara serta resah hati rakyat.

Pada 16 Julai, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai “flashmob” yang dianjurkan secara “haram” bagi membantah kenaikan harga barang, sambil berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peserta.

Beliau berkata, acara seumpama itu disifatkan sebagai perhimpunan haram kerana dianjurkan tanpa kebenaran polis.

Pada 1 Julai, Amanah mengetuai protes di Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi membantah kenaikan harga barang dan sekurang-kurangnya 10 wakil parti telah dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberi notis awal perhimpunan itu kepada pihak berkuasa.

Peguam Mohamad, Faiz Fadzil, semalam berkata, presiden Amanah disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana didakwa menerbitkan atau mengedarkan kenyataan dengan niat untuk menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) kerana didakwa menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.