
Teo Nie Ching (PH-Kulai) membangkitkan perkara itu, ketika menamakan Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan), Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim (BN- Baling) dan Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak).
“Sepanjang saya dipilih sebagai seorang Ahli Parlimen pada tahun 2008 sampai sekarang…14 tahun sudah banyak kali kami nampak Ahli Parlimen yang duduk dalam dewan ini membuat kenyataan seksis kebanyakan Ahli Parlimen yang buat kenyataan seksis itu merupakan wakil rakyat sama, saya berani cakap di sini antara mereka termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan, Baling dan Pasir Salak,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021, di Dewan Rakyat.
Beliau juga membangkitkan, sekiranya RUU gangguan seksual diluluskan di Dewan Rakyat, ia memberi jaminan kenyataan seksis membabitkan wakil rakyat tidak lagi berulang.
“Saya nak tahu selepas RUU Antigangguan Seksual ini diluluskan adakah kami akan nampak perbezaan berlaku dalam dewan ini, sekarang kita nak wujudkan satu tribunal, tetapi saya nak tahu selepas kita wujud tribunal…bolehkah kita bawa Ahli Parlimen ke tribunal atau mereka akan terus menikmati imuniti,” katanya.
Beliau juga mendakwa, speaker Dewan Rakyat gagal memastikan Dewan Rakyat mempertahankan Ahli Parlimen wanita daripada terus menjadi mangsa kenyataan seksis.
“Saya nak cakap apabila Ahli Parlimen sama buat kenyataan seksis ini menunjukkan apa, ini menunjukkan bahawa Ahli Parlimen itu bermasalah, tapi lagi penting ini menunjukkan bahawa dewan ini telah gagal dalam tanggungjawab mereka mempertahankan maruah Ahli Parlimen wanita,” katanya.
Sementara itu, Azeez bangkit mencelah dengan menyifatkan kenyataan seksis berlaku berpunca daripada wakil rakyat wanita yang mengeluarkan kenyataan kesat sehingga menimbulkan ketegangan di Parlimen.
“Saya nak beritahu juga kepada Kulai ia ada sebab, kalau ada Ahli Parlimen wanita yang panggil speaker barua itu macam mana? Kalau mereka yang mengeluarkan kata-kata kesat yang kasar…jadi kita rasa marah masa itu, itu sebab kita balas balik kepada wakil tersebut,” katanya.
Kenyataan Azeez itu menimbulkan rasa tidak puas hati Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) sehingga berlaku perang mulut, termasuk dengan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
“Kenapa Batu Kawan marah saya tak sebut nama awak pun, makan cili ke? Kenapa Batu Kawan (tiba-tiba) bangun, provokasi,” katanya sebelum Timbalan Speaker Rashid Hasnon mengarahkan semua wakil rakyat duduk dengan memberi ruang kepada Teo meneruskan ucapannya.