
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata beliau pernah memperjuangkan isu berkenaan sebelum ini namun tidak mendapat sokongan dan sambutan termasuk daripada pimpinan parti.
“Tapi kali ini, saya bersama PKR. Jadi saya minta akar umbi, pimpinan parti, mari kita perjuangkan Program Sarapan Percuma seperti mana kita perjuangkan pada 2019 yang lalu tapi telah dihentikan pada waktu itu dan tidak diteruskan kerajaan pada waktu ini.
“Kita hidupkan semula. Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) tahu perkara ini kerana dalam Kabinet, hanya Kak Wan sokong saya, lain tak sokong.
“Jadi kita perjuangkan semula. Parti kita parti hentikan derita rakyat. Parti kita menjulang keadilan, parti kita parti mengangkat pendidikan,” katanya yang membahaskan isu pendidikan pada Kongres PKR di sini.
Maszlee turut mengajak akar umbi PKR untuk bersamanya menyambung memperjuangkan isu tersebut termasuk isu ‘zero reject policy’ yang pernah diperkenalkan sebelum ini dalam memperjuangkan pendidikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
“Kita akan perjuangkan pendidikan OKU. OKU adalah rahmat kepada negara. Mereka mereka dihentikan dari pendidikan. Kenapa mesti zero reject policy dihentikan.
“Radzi Jidin (menteri pendidikan), Mah Hang Soon (timbalan menteri pendidikan 1), Mohamad Alamin (timbalan menteri pendidikan 2), kerajaan Malaysia kamu berdosa kepada OKU. Kami bertekad, PKR akan perjuangkan pendidikan OKU selama-lamanya di bumi malaysia ini,” katanya.
Dalam pada itu, Maslee turut mendakwa kerajaan dan Kementerian Pendidikan menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk bersikap inklusif, merentasi ideologi demi memulihkan sektor pendidikan selepas pasca Covid-19.
“Apa yang dikongsikan presiden (Anwar Ibrahim), bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong pun mereka tipu melalui akuan bersumpah (SD) yang telah dikemukakan, apatah lagi isu pendidikan mereka boleh ingkar, derhaka dengan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Maszlee, PKR akan memperjuangkan dasar pendidikan dari tahap pra-sekolah, pendidikan tinggi termasuk TVET bagi memastikan tiada pelajar yang keciciran akibat Covid-19.
“Ini hanya boleh dilakukan kalau ada Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan untuk rangka pelan pendidikan pasca Covid-19, selaras titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.