
Timbalan Pendakwa Raya Poh Yin Tinn berkata, tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Tan Chai Wei.
“Pihak-pihak juga diarah memfailkan penghujahan bertulis menjelang 8 Nov,” katanya kepada FMT.
Pada 14 Dis, Zaini, yang juga hakim dalam perbicaraan rasuah Rosmah yang sedang berjalan berhubung projek tenaga hibrid solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion, menolak permohonan pertama Rosmah untuk membatalkan kelayakannya.
Zaini berkata, seorang hakim dikehendaki mempertimbangkan keterangan terhadap tertuduh secara berasingan dan bebas.
“Sebarang penemuan yang saya buat dalam kes solar kekal dalam kes itu,” katanya, sambil menambah, seorang hakim dilatih untuk kekal tidak berat sebelah walaupun membaca fakta berkaitan kes.
Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, mahu hakim lain mendengar kes pengubahan wang haramnya.
Beliau mendakwa kenyataan dan ekshibit yang dikemukakan di hadapan mahkamah dalam perbicaraan rasuah boleh mempengaruhi Zaini secara langsung atau tidak langsung jika beliau turut mempengerusikan perbicaraan pengubahan wang haram.
Pada 25 April, Zaini menolak permohonan kedua Rosmah yang dikatakan difailkan atas alasan yang lebih luas.
Beliau berkata, doktrin res judicata (membangkitkan perkara sama yang telah diputuskan) terguna pakai dalam permohonan kedua ini.
“Saya berpendapat dia mesti dihentikan daripada mencetuskan litigasi atas perkara ini lagi. Kepentingan awam menuntut bahawa mesti ada kemuktamadan bagi litigasi dan pihak-pihak tidak boleh dibenarkan untuk membongkar isu yang sama berulang kali,” katanya.
Kedua-dua rayuan itu kini berada di hadapan Mahkamah Rayuan.
Peguam Geethan Ram Vincent mewakili Rosmah dalam percubaan pertamanya, manakala peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin tampil bagi percubaan kedua.
Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram mengendalikan pendakwaan bagi kedua-dua kes.
Rosmah berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017.
Zaini membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan.