
Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 12.09 tengah malam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa lelaki tempatan berusia 63 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Sebelum kejadian, mangsa telah mengunjungi rumah rakannya di Amarin Kiara untuk bermain mahjong.
“Selesai bermain mahjong, mangsa keluar dari rumah rakannya dan bergerak ke keretanya yang diletakkan di luar kawasan Amarin Kiara,” katanya dalam kenyataan.
Amihizam berkata, saksi di tempat kejadian memaklumkan terlihat mangsa melintas di hadapannya untuk ke tempat letak kereta dan tidak lama kemudian terdengar bunyi tiga das tembakan dari arah tempat letak kereta mangsa.
Beliau berkata, mangsa kemudian didapati terbaring di sebelah keretanya dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di 03 22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03 21159999 atau balai polis berdekatan.