Farid Kamil terlepas hukuman penjara, denda RM5,000 muktamad

Farid Kamil terlepas hukuman penjara, denda RM5,000 muktamad

Mahkamah Rayuan tolak tawaran pihak pendakwaan untuk lanjutan masa untuk memfailkan notis rayuan bagi mengembalikan keputusan majistret untuk menghantarnya ke penjara.

Pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari dan isteri Diana Danielle tiba di Mahkamah Rayuan untuk pendengaran pada Mei. (Bernama pic)
PUTRAJAYA:
Denda RM5,000 yang dikenakan Mahkamah Tinggi terhadap pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis muktamad.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak usul pihak pendakwaan untuk melanjutkan masa, memfailkan notis rayuan bagi mengembalikan keputusan majistret untuk menghantar Farid ke penjara.

Panel tiga hakim yang bersidang diketuai Hanipah Farikullah turut membatalkan rayuan itu susulan permohonan peguam utama Farid, Hisyam Teh Poh Teik.

Proses rayuan menamatkan keputusan yang dimulakan di mahkamah majistret pada 2020.

Pihak pendakwaan hanya memfailkan usul lanjutan masa pada 6 Mei, tetapi Hisyam berhujah bahawa ia dilakukan terlalu lewat.

“Tiada pendedahan penuh dan terus terang mengenai kelewatan afidavit mereka. Mereka tidak dapat menjelaskan kelewatan itu,” katanya.

Hisyam juga berhujah bahawa notis itu tidak lengkap kerana tidak ditandatangani.

Beliau berkata, seorang pendaftar mahkamah telah mengingatkan pihak pendakwaan sebanyak tiga kali secara berasingan antara Disember tahun lalu dan Februari tahun ini, untuk menentukan kecacatan itu, tetapi ini tidak dilakukan sehingga Mei.

“Mahkamah seharusnya tidak menggunakan budi bicaranya untuk memihak kepada pihak pendakwaan,” katanya kepada panel yang turut dianggotai hakim Ahmad Nasfy Yasin dan M Gunalan.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2 Jun 2020 menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Balai Polis Kota Damansara. Kejadian berlaku pada 1.20 tengah hari pada 11 Jan 2018.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menggantikan hukuman penjara 13 bulan dengan denda RM5,000, yang dibayar oleh Farid.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Farid turut diwakili oleh Kee Wei Lon dan Low Wei Loke, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.