

Anantha Raman Govindasamy daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) percaya kejadian itu akan memastikan ahli-ahli Umno patuh, manakala Azeem Fazwan Ahmad Farouk daripada Universiti Sains Malaysia menganggap ia tidak akan membendung tentangan.
Anantha melihat pengguguran ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai “tembakan amaran” yang memberi gambaran bahawa mereka yang gagal menuruti keputusan MKT akan berdepan masalah.
Pematuhan seperti itu adalah sesuatu yang didambakan oleh golongan akar umbi, tambahnya.
“Mereka mahukan parti yang bersatu, bukan berpuak-puak,” katanya kepada FMT.
Anantha juga berpendapat akar umbi lebih menghargai pemimpin yang tegas dalam parti dan penyingkiran Tajuddin akan mengukuhkan kedudukan Zahid sebagai presiden.
Azeem pula menyifatkan “mustahil” untuk ahli lain patuh sepenuhnya kerana pasti akan ada antara mereka yang terus lantang bersuara.

Malah menurutnya, menteri persekutuan seperti Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin juga sebelum ini secara terang-terangan mempersoalkan Zahid.
“Sudah ada suara menentang dalam parti yang akan mewujudkan politik berpuak-puak,” katanya.
Menurut Zahid, Tajuddin digugurkan daripada MKT minggu lepas kerana mengkritik parti, bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut perkara itu.
Zahid berkata, walaupun ahli MKT boleh memiliki pandangan berbeza, namun semua keputusan yang dimuktamadkan oleh kepimpinan parti mesti dipatuhi.