Saya belum terima surat daripada Mohamaddin, kata Hamzah

Saya belum terima surat daripada Mohamaddin, kata Hamzah

Bagaimanapun setiausaha agung Bersatu itu mengakui Mohamaddin Ketapi yang juga ADUN Segama ada menghantar mesej kepadanya pagi tadi untuk berbincang mengenai perkara itu.

Hamzah Zainudin mengakui Mohamaddin Ketapi menghantar mesej kepadanya untuk berbincang mengenai pengunduran daripada Bersatu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata, beliau belum menerima surat daripada Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi mengenai pengundurannya daripada parti itu.

“Saya belum menerima sebarang surat (keluar parti) daripada dia. Dia baru cakap, saya tak terima apa-apa (surat) lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga menteri dalam negeri mengakui, Mohamaddin yang juga ADUN Segama ada menghantar mesej kepadanya pagi tadi untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Dia ada hantar mesej kepada saya pagi tadi…Insya-Allah takkan berlaku apa-apa, saya akan bincang dengan dia sebab dia kata nak bincang dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis apresiasi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS).

Terdahulu, dalam sidang media di Kota Kinabalu Mohamaddin mengumumkan keluar Bersatu dan menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan persekutuan serta negeri.

Beliau menjelaskan keputusan keluar Bersatu kerana tidak diberi sebarang peranan untuk memperkukuhkan parti itu seperti dijanjikan.

Mohamaddin turut mendakwa diri dan penyokongnya diketepikan jentera oleh parti di Lahad Datu dan Segama dengan Bersatu mengadakan aktiviti tanpa pengetahuannya.

Bekas menteri pelancongan itu meninggalkan Warisan pada Oktober 2021 sebelum menyertai Bersatu pada 26 Nov lalu.

Dalam pada itu, Hamzah menegur sebilangan wakil rakyat Bersatu yang “lemah” kerana tidak mempunyai semangat juang untuk melawan.

“Orang ni ada macam-macam perasaan. Patutnya sesetengah orang ni kena ikutlah perasaan yang betul-betul cekap macam mana nak lawan habis-habisan, begitulah.

“(Ini tidak) ada yang tak tahan…lemah, macam-macamlah,” katanya merujuk kepada dakwaan Mohamaddin bahawa beliau diketepikan oleh jentera parti di Lahad Datu dan Segama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.