Muhyiddin seru ahli Bersatu perkukuh perpaduan, tutup ruang perpecahan

Muhyiddin seru ahli Bersatu perkukuh perpaduan, tutup ruang perpecahan

Presiden Bersatu itu menegaskan beliau masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai presiden, meskipun tidak lagi memimpin Perikatan Nasional.

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin berkata ada ketikanya beliau perlu mengambil satu langkah ke belakang tetapi ia bukan menunjukkan tanda lemah tetapi usaha strategik mengukuhkan parti.
PETALING JAYA:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa seluruh ahli parti itu agar memperkukuh kerjasama dan memperteguh perpaduan dalaman, sambil menutup rapat segala ruang yang boleh mencetuskan perpecahan dalam parti.

Dalam perutusan Tahun Baharu, Muhyiddin menegaskan beliau masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai presiden, meskipun tidak lagi memimpin Perikatan Nasional (PN).

“Sempena Tahun Baru ini, saya menyeru seluruh ahli Bersatu agar memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup rapat segala ruang perpecahan dalam parti.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai Presiden.

“Walaupun saya tidak lagi memimpin PN, Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,” katanya di Facebook.

Pada 30 Dis lalu, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuatkuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan Bersatu adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.

Bagaimanapun menurutnya, ada ketikanya beliau perlu mengambil satu langkah ke belakang tetapi ia bukan menunjukkan tanda kelemahan.

“Ia adalah usaha strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan.

“Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.