Badan Peguam bantah permohonan Laidlaw wakili Najib

Badan Peguam bantah permohonan Laidlaw wakili Najib

Badan itu memberi alasan peguam bekas perdana menteri itu, Shafee Abdullah, memiliki lebih banyak pengalaman malah lebih layak berbanding Peguam Diraja Jonathan Laidlaw.

Peguam Diraja Jonathan Laidlaw tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman khas dalam sistem perundangan, sistem jenayah negara dan dalam perundangan lain yang berkaitan. (Gambar 2HareCourt)
KUALA LUMPUR:
Terdapat 21,659 peguam berpengalaman di Malaysia untuk dipilih Najib Tun Razak bagi mewakilinya dalam rayuan terakhir bekas perdana menteri itu bagi kes berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, kata Badan Peguam.

Setiausaha Badan Peguam B Anand Raj, dalam afidavit difailkan, semalam, berkata peguam Najib ketika ini, Shafee Abdullah memiliki lebih banyak pengalaman, dan lebih layak berbanding Jonathan Laidlaw.

Katanya, Badan Peguam membantah permohonan Laidlaw, Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom, untuk mewakili Najib dalam rayuannya.

Anand berkata, Shafee sendiri memiliki pengetahuan dan berpengalaman luas kerana dia pernah berhujah dalam banyak kes melibatkan peruntukan undang-undang jenayah, dan pertuduhan berkaitan dengan rayuan Ahli Parlimen Pekan itu.

“Berdasarkan kenyataan bahawa Shafee serta pasukan pembelaan telah terlibat dengan kes itu, dan sudah biasa dengan pertuduhan serta peruntukan berkanun yang terlibat sejak dari permulaan, Badan Peguam berpandangan bahawa Shafee sendiri mempunyai pengalaman luas dan kelayakan tinggi berhubung isu yang belum selesai dalam rayuan itu, lebih daripada pemohon (Laidlaw),” katanya.

Anand berkata, bahawa hanya pada tahun-tahun awal selepas Malaysia mencapai kemerdekaan daripada UK pada 1957 apabila terdapat bilangan peguam tempatan terhad, yang memerlukan bantuan daripada QC dan pakar asing.

“Hari ini pada tahun 2022, yakni 65 tahun selepas merdeka, Badan Peguam telah berkembang dengan hebat, secara kuantitatif dan kualitatif. Kami mempunyai 21,659 peguam bela dan peguam cara yang memiliki Sijil Tahunan dan Amalan yang sah pada 27 Jun 2022.

“Ada ramai peguam bela dan peguam cara yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang litigasi pembelaan jenayah sehingga peringkat rayuan tertinggi. Penelitian terhadap kelayakan dan pengalaman pemohon (Laidlaw) seperti yang dinyatakan dalam afidavit itu (oleh Shafee) menunjukkan bahawa beliau adalah QC terkemuka di UK dan mempunyai pengalaman yang pelbagai dan luas dalam pelbagai bidang kuasa.

“Beliau bagaimanapun tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman khas dalam sistem perundangan Malaysia, sistem jenayah Malaysia dan dalam perundangan lain yang berkaitan yang diperlukan untuk rayuan,” katanya.

Anand berkata, perkara inilah yang sebenarnya terdapat dalam kalangan peguam bela dan peguam cara peguam jenayah terkemuka di Malaysia.

Beliau seterusnya menambah bahawa Laidlaw tidak menunjukkan beliau biasa dengan statut, amalan dan prosedur tempatan Malaysia yang sedang berkembang, serta sistem perundangannya, 65 tahun selepas Merdeka.

Permohonan untuk mendapatkan khidmat QC akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, pada 6 Jul di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

Pada 25 Jan, firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat kepada Sekretariat Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib melantik QC bagi membantu beliau dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib kerana menyalah guna RM42 juta dana SRC.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, pada 28 Jul 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.