Pengarah ‘mengaku’ rasuah Guan Eng, bekas rakan sekerja beritahu mahkamah

Pengarah ‘mengaku’ rasuah Guan Eng, bekas rakan sekerja beritahu mahkamah

Bekas pengurus kewangan Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd Azli Adam berkata, dia diminta untuk menyediakan baucar dan invois pembayaran palsu kepada dua syarikat.

Pengarah Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli (kiri) membuat ‘pengakuan’ itu selepas direman oleh SPRM. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengurus kewangan memberitahu Mahkamah Sesyen dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berkait terowong dasar laut bahawa bekas bosnya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli “mengaku” memberi rasuah kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang untuk projek itu.

Azli Adam, yang merupakan naib presiden kanan Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd dan bertanggungjawab ke atas bahagian kewangan dan perkhidmatan korporat syarikat berkata, pengakuan itu berlaku pada Januari 2018.

Beliau berkata, Zarul berkata demikian selepas beliau direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatannya terhadap projek itu.

“Dia mengaku kepada saya dan Ibrahim Sahari (seorang pengarah syarikat lain) bahawa memang pembayaran tersebut dibuat sejak 2012 sehingga 2017..

“Zarul telah meminta Ibrahim dan saya menggunakan baucar dan invois pembayaran palsu sebagai bukti pembayaran telah dibuat kepada dua entiti – Perkhidmatan Perundingan Sinar Bina dan Kejuruteraan Bintang Ria,” kata Azli.

Beliau berkata, selain Sinar Bina dan Bintang Ria, “pembayaran” juga dibuat kepada JKM Konsortium Sdn Bhd dan Jurutera Konsult Maju Sdn Bhd.

Katanya lagi, kedua-dua Sinar Bina dan Bintang Ria tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan Konsortium Zenith dan dia tidak tahu siapa pemilik syarikat itu.

“Ini adalah untuk menutup jejak pembayaran tunai yang dibuat kepada beliau, ,” katanya.

Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan jawatannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta daripada Zarul komisyen 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada ahli perniagaan itu.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

Saya tidak pernah bertemu Guan Eng secara peribadi, kata saksi

Ditanya oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo, sama ada dia pernah bertemu Lim sebelum ini, Azli memberitahu mahkamah dia pernah berjumpa Lim pada majlis Hari Raya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan di mana dan bila pertemuan itu berlangsung.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa beliau tidak pernah bertemu Lim secara peribadi selepas majlis Hari Raya.

Gobind: Anda menyebut dalam keterangan anda bahawa Zarul meminta anda mengeluarkan invois palsu supaya pembayaran boleh dibuat?

Azli: Ya, (saya melakukannya) di bawah arahan Zarul.

Gobind kemudian bertanya kepada Azli sama ada dia tahu siapa penerima utama pembayaran itu.

Kata Azli, dia tidak tahu.

Gobind berkata, memalsukan dokumen seperti invois dan baucar pembayaran adalah satu kesalahan dan Azli adalah bertanggungjawab dan boleh didakwa.

“Oleh kerana anda memalsukan dokumen, itu menunjukkan anda seorang yang tidak boleh dipercayai,” katanya.

“Saya tidak bersetuju,” jawab Azli.

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung esok apabila Timbalan Pendakwa Raya Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar akan memanggil Ibrahim, iaitu seorang pengarah Konsortium Zenith yang lain, untuk memberi keterangan.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa Zarul yang dijadual memberi keterangan hari ini tidak dapat hadir pada perbicaraan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Zarul mengambil cuti sakit kerana dalam proses pemulihan daripada kanser pankreas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.