
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, ia adalah antara langkah bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh memandangkan wujud keperluan untuk melindungi kebajikan rakyat dengan meneruskan pemberian subsidi.
Katanya, jumlah subsidi terbesar dalam sejarah yang akan disalurkan tahun ini ternyata memberi kesan kepada kewangan negara, namun kebajikan rakyat terus menjadi perhatian bagi mengelakkan mereka terus terhimpit dengan bebanan kos perbelanjaan tinggi.
“Kerajaan belum putuskan lagi sama ada untuk menangguh pelaksanaan projek mega memandangkan keadaan semasa kini agak dinamik dan berubah dari semasa ke semasa. Sekarang harga minyak masih tinggi dan keadaan geopolitik di Russia-Ukraine masih agak mencabar.
“Ramai menjangkakan perkembangan yang berlaku di Eropah ini mungkin berlarutan sehingga beberapa waktu. Justeru harga komoditi kekal tinggi disebabkan keadaan geopolitik yang tidak menentu.
“Setakat ini, kerajaan akan melihat perkembangannya, namun langkah penangguhan pelaksanaan projek mega boleh diambil tetapi ia belum diputuskan. Ia antara langkah yang boleh dikaji dan dipertimbangkan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sementara itu, Mustapa menjelaskan bahawa kerajaan turut menyedari golongan M40 turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini, malah ada bantuan yang diumumkan kerajaan boleh dinikmati oleh golongan berpendapatan pertengahan itu.
“Kerajaan sebenarnya terus memberi keutamaan kepada golongan ini. Apabila kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengkaji semula tarif elektrik dan air umpamanya, ia sudah pasti memberi sedikit kelegaan kepada golongan ini.
“Jika dulu ada perancangan untuk melaksanakan subsidi bersasar tetapi jika ia membabitkan B40 sahaja pastinya M40 akan terkesan. Namun dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu, maka M40 akan mendapat manfaat berkaitan tarif elektrik dan air,” katanya.
Dalam pada itu, menurut laporan Kosmo, Mustapa berkata, kadar inflasi di negara ini boleh mencecah 11.4% sekiranya kerajaan menghapuskan semua subsidi yang dinikmati rakyat ketika ini.
Katanya, ketika ini, kadar inflasi negara berada pada paras 2.8% bagi Mei, berbanding 2.3 dan 2.2% pada Apr dan Mac.