
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata laporan itu antara lain memohon siasatan terhadap sama ada tandatangan dibuat dalam resolusi pertukaran nama saham syarikat adalah sah atau sebaliknya.
Laporan berkenaan dibuat abang arwah Faziani, pada Selasa lalu.
“Laporan kedua ini lebih kepada kecurigaan atau sangsi keluarga berhubung resolusi pertukaran nama saham syarikat milik Faziani.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada tandatangan yang dibuat itu sah atau sebaliknya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan ini akan dibuat seiring dengan laporan polis yang dibuat terdahulu yang menuntut siasatan lanjut berhubung kematian allahyarham,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Pada 16 Jun, keluarga arwah Faziani ada membuat laporan polis mengenai berhubung kematiannya, selepas maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand, pada 18 Mei 2019.
Kata keluarga, mereka mencurigai kematian arwah dan memohon siasatan dilaksanakan sekiranya benar punca kematian akibat kemalangan atau ada unsur lain.
Pada 19 Jun, keluarga arwah turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urusan penghantaran jenazah Faziani tidak melalui Kedutaan Malaysia di Bangkok dan Konsul Malaysia di Songkhla.
Pihak keluarga mendakwa, tempoh jenazah yang pulang disifatkan sangat cepat, berbanding beberapa hari diperlukan pada kebiasaan kerana perlu melalui beberapa prosedur di Thailand.