
Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, Jeremy Lim berkata, Musa yang juga bekas ketua polis negara harus jelas dengan dakwaannya dan memberikan bukti.
“Beliau tidak patut hanya mengeluarkan kenyataan menyeluruh kerana ia akan menjejaskan reputasi perniagaan yang sah,” kata Lim.
“Lebih baik biarkan polis siasat kerana mempunyai senarai tidak bermakna nama dalam senarai itu benar. Jadi lebih baik beliau bekerjasama dengan polis.”
Lim berkata ahli persatuan itu mengambil serius tentang kesihatan dan keselamatan pengunjung serta pekerja mereka kerana persekitaran bebas dadah amat penting untuk memastikan keselamatan tetamu dan pekerja.
Khamis lalu, Musa berkata beliau akan memaklumkan Bukit Aman mengenai sekurang-kurangnya 15 kelab malam di Kuala Lumpur membekalkan dadah rekreasi kepada pengunjung, dengan membayar pegawai penguatkuasa tertentu untuk menutup mata.
Beliau juga mendakwa kelab malam itu menyediakan pegawai perhubungan tetamu dan pelacur dari negara asing yang memasuki sempadan negara menggunakan pas lawatan sosial.
Pengasas bersama Industries Unite David Gurupatham, berkata komen Musa mungkin menyebabkan peningkatan serbuan ke atas kelab malam yang sah.
Beliau menggesa agensi penguatkuasaan mengadakan dialog dengan pemilik kelab malam yang sah untuk bersama-sama membanteras masalah itu.
“Sedikit kelab yang tidak baik, tidak boleh dibiarkan mencemarkan nama baik majoriti kelab yang mematuhi undang-undang,” katanya.
Kelab malam adalah yang terakhir dibenarkan beroperasi semula selepas negara beralih daripada pandemik Covid-19 kepada peralihan kepada fasa endemik. Perniagaan itu dibuka semula pada 15 Mei selepas terpaksa ditutup selama lebih dua tahun.
Perniagaan kelab malam menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 150,000 hingga 250,000 orang dan merupakan bahagian penting dalam industri pelancongan.