Segerakan PRU15 jika mahu kerajaan kuat, kata PAS

Segerakan PRU15 jika mahu kerajaan kuat, kata PAS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata bagaimanapun ia perlu mengambil kira keadaan dan persediaan jika mahu melaksanakan PRU dalam tempoh terdekat.

Abdul Hadi Awang berkata, pada dasarnya PAS bersetuju jika PRU15 diadakan sebaik habis penggal tetapi perlu disegerakan jika keadaan memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera jika mahu membina kekuatan dalam kerajaan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Bagaimanapun ahli Parlimen Marang itu berkata, ia perlu mengambil kira keadaan dan persediaan jika mahu melaksanakan PRU.

“Memang pada dasarnya, kita bersetuju PRU diadakan apabila habis penggal tetapi kalau dalam keadaan memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan, ia perlu disegerakan.

“(Perlu) tengok keadaan dan kena ada persediaan. Kalau tiada persediaan, tidak boleh buat pilihan raya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan PAS menolak gesaan supaya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat, bukan disebabkan bimbang parti itu akan tewas.

Hadi dipetik berkata, saranan agar PRU15 diadakan apabila tempoh penggal Parlimen ke-14 berakhir adalah bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.

Beliau menegaskan, PAS bukan gila kuasa kerana menolak PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, ketika ditanya cadangan sesetengah pihak dalam PAS supaya parti berkenaan menggunakan logo sendiri pada PRU15, Hadi berkata, setakat ini parti itu masih menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

“Itu (cadangan) pandangan peribadi (dan) hingga hari ini, kita masih memakai simbol PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.