
Edmund Terence Gomez menegaskan, sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018, parti pembangkang menunjukkan sokongan terhadap akta pendanaan politik dan pembaharuan institusi.
Bagaimanapun katanya, keadaan berubah selepas 2018, dengan penggubal undang-undang tidak mahu mendesak pembaharuan itu dibuat.
“Ini menunjukkan bahawa peniagaan membiayai kedua-dua pihak,” katanya pada persidangan “Political Financing Act: Current Status, Challenges and the Way Forward” anjuran IDEAS dan Majlis Peguam.
Gomez berkata, tindakan itu juga boleh dilihat melalui memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) mengenai transformasi dan kestabilan politik yang ditandatangani tahun lalu.
Beliau yang mengkritik MoU itu berkata, pakatan berkenaan tidak mempunyai reformasi yang diperlukan mengenai pembiayaan politik dan pembaharuan institusi. Beliau berkata, ini adalah isu paling asas.
Gomez turut melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan kerana enggan melibatkan orang awam dalam melaksanakan pembaharuan yang diperlukan.
Beliau berkata, sebilangan besar NGO telah mengemukakan cadangan merangkumi peraturan mengenai pembiayaan politik, had pembiayaan dan perbelanjaan serta jenis pembiayaan.
Namun malang katanya, syor utama itu sering diabaikan kerajaan.
Seorang lagi ahli panel, Pengarah Penyelidikan Bait Al-Amanah, Benedict Weerasena berkata, semua pihak berkaitan mesti realistik dalam menggubal undang-undang pendanaan politik dan pembaharuan institusi lain.
“Ini termasuk menerima versi rang undang-undang yang digubal sebagai titik permulaan dan menuju ke arah rang undang-undang yang ideal pada masa hadapan.
“Mulakan dengan perkara yang tidak boleh dirunding dalam rang undang-undang sebelum ini,” katanya.
Bulan lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah pada dasarnya bersetuju dengan rang undang-undang pendanaan politik.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan dengan Jemaah Menteri sebelum melibatkan parti politik.