Akibat selisih faham, lelaki tikam isteri, mentua

Akibat selisih faham, lelaki tikam isteri, mentua

Pemandu lori berusia 26 tahun itu kemudian ditahan polis apabila cuba terjun dari bangunan sehari selepas mencederakan kedua-dua wanita berkenaan.

Suspek dilaporkan menikam isteri dan ibu mentuanya dengan pisau sehari sebelum ditahan kerana cuba terjun dari bangunan sedang dalam pembinaan di Kota Bharu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menikam isteri dan ibu mentuanya dalam kejadian di Chabang Empat, Tumpat, Kelantan petang kelmarin.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pagi semalam apabila cuba terjun dari tingkat 31 sebuah bangunan dalam pembinaan di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Menurut Ketua Polis Tumpat Amran Dolah, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan pada 10.14 pagi sebaik pihaknya dimaklumkan terdapat seorang individu cuba terjun bangunan.

“Pada 6.35 petang semalam (kelmarin), suspek menikam isteri dan ibu mentuanya, masing-masing berusia 20-an dan 60-an, dengan dua pisau di rumah mereka.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan isterinya,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor Harian Metro.

Amran berkata, isteri suspek retak dan luka di bahagian kepala, patah dua jari tangan serta luka di beberapa bahagian anggota badan, manakala ibu mentuanya luka di kepala akibat ditikam suspek.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya.

Menurut Amran, suspek mempunyai tiga rekod lampau bersabit dadah dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.