Subsidi minyak masak peket 1kg kekal, kata PM

Subsidi minyak masak peket 1kg kekal, kata PM

Ismail Sabri Yaakob menjelaskan perkara itu susulan kekeliruan konon kerajaan menarik balik subsidi minyak kategori itu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata harga minyak masak peket 1kg masih kekal RM2.50.
PETALING JAYA:
Subsidi minyak masak peket 1kg tidak dimansuhkan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail menjelaskan perkara itu susulan kekeliruan kononnya kerajaan menarik balik subsidi minyak masak kategori itu.

“Kerajaan masih kekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah RM4 bilion pada tahun 2022.

“Jadi minyak masak peket 1kg masih kekal RM2.50 sekilogram,” katanya pada sidang media khas.

Katanya, susulan pengekalan itu, peruntukan subsidi minyak masak tahun ini jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion, pada 2021.

Justeru, beliau menafikan dakwaan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan.

“Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpeket bagi membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 sekilogram ketika ini, berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9 sekilogram bagi kegunaan domestik atau di rumah.

“Ertinya subsidi minyak masak peket yang bermula sejak Jun 2007 masih dilaksanakan kerajaan hari ini dan tidak ditarik balik seperti digambarkan sesetengah pihak,” katanya sambil memaklumkan minyak masak disubsidi kerajaan sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi keperluan sebenar pengguna, sebanyak 55,000 tan metrik.

Ismail membuat penjelasan itu susulan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, semalam, mengenai pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga lima kilogram, bermula 1 Jul.

Katanya, pemansuhan itu hanya membabitkan program subsidi sementara merangkumi minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg, membabitkan peruntukan berjumlah RM55 juta sebulan.

Beliau berkata, program subsidi sementara bermula Ogos tahun lalu itu dikhususkan selama tiga bulan sahaja untuk membantu rakyat terkesan ketika pandemik Covid-19, sebelum ia dilanjutkan setiap tiga bulan, kemudian sehingga kini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan terpaksa memansuhkan program itu selepas mendapati minyak masak botol bersubsidi banyak diselewengkan pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

“Berbanding minyak masak peket, minyak masak botol dilihat lebih mudah diseludup. Jika 10 botol minyak masak botol bersubsidi 5kg diseludup, ia bererti sudah 50kg.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Jul 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.