Petronas mohon penjelasan kerangka kawal selia di mahkamah

Petronas mohon penjelasan kerangka kawal selia di mahkamah

Syarikat minyak nasional menamakan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak sebagai responden.

petronas-HQ
Petronas berkata masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepadanya. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Petronas memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.

Permohonan itu bertujuan memastikan operasi Petronas selaras kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik, menurut kenyataan.

Syarikat minyak nasional itu menamakan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak sebagai responden.

Menurutnya, permohonan itu tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) — pengagregat gas tunggal di negeri itu.

Petronas menerangkan keputusan memfailkan usul tersebut dibuat susulan perbincangan serta rundingan bersama Petros, serta kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sejak 2024.

“Meskipun terdapat kemajuan yang dicapai dalam rundingan komersial dan perkongsian, termasuklah pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada 2020, namun masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada Petronas,” katanya.

Sementara itu, seluruh operasi Petronas akan terus berjalan seperti biasa, serta bekerjasama ke arah memajukan aspirasi pembangunan Sarawak dan memelihara kemakmuran Malaysia.

“Petronas kekal komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai operasinya termasuk kegiatan usahasama syarikat,” katanya.

CSA yang mula berkuat kuasa pada 7 Disember 2020, menetapkan perkongsian hasil yang lebih besar daripada minyak dan gas yang ditemui serta dihasilkan di Sarawak.

Ia juga memperuntukkan penglibatan yang lebih aktif oleh kerajaan negeri dalam industri minyak dan gas melalui pengurusan sumber minyak dan gas di darat melalui Petros.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.