
Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan rasuah anaknya, berkata beliau masih ingat apa yang diberitahu pegawai SPRM ketika disoal siasat pada 2020.
“Yang saya tak boleh lupakan, mungkin mereka bergurau, tapi mereka beritahu lebih bagus beritahu anak (saya) untuk ikuti kerajaan yang ada supaya puan dan suami tak disiasat lagi.
Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin ditubuhkan pada Mac 2020, selepas menawan Putrajaya daripada Pakatan Harapan menerusi ‘Langkah Sheraton.’
Sharifah berkata anaknya yang hilang jawatan menteri selepas PN menguasai kerajaan, menjadi mangsa susulan perubahan kerajaan.
“Bagi seorang ibu yang sayang anak dan tahu pengorbanan anak, bukannya senang. Maafkan saya Yang Arif, saya anggap anak saya jadi mangsa politik,” katanya dalam pemeriksaan balas perbicaraan rasuah Syed Saddiq.
Ahli Parlimen Muar itu yang kini memimpin parti Muda, berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), penyalah gunaan dana dan pengubahan wang berjumlah RM1 juta milik sayap pemuda Bersatu, Armada.
Mahani berkata, Syed Saddiq mengingatkan diri dan suaminya, Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff, dua kali, pada 2020, supaya berwaspada kerana “mungkin akan dipanggil” SPRM.
Katanya, pegawai SPRM yang menyiasatnya “baik”, namun butiran percakapan mereka “menakutkan”.
Saksi pendakwaan, pegawai penyiasat SPRM, Muhamad Taufik Awaludin, memberitahu mahkamah bahawa Syed Saddiq “merekayasa naratif” bahawa RM250,000 yang didakwa hilang dari peti besi di kediamannya adalah milik beliau bersama ibu bapanya untuk membiayai pengubahsuaian rumah.
Bagaimanapun, rekod perbualan di kumpulan WhatsApp membabitkan Syed Saddiq dan rakannya menunjukkan beliau (Syed Saddiq) mengakui wang itu dana pengelolaan.
“Pada mulanya, Syed Saddiq memberitahu kumpulan WhatsApp itu bahawa wang itu merupakan dana pengelolaan (discretionary fund).
“Beliau mengambil keputusan membuat laporan polis (berhubung kehilangan dana) dan mengeluarkan kenyataan media yang menyatakan wang berkenaan kepunyaannya dan ibu bapa,” kata Taufik.
Beliau mendakwa siasatannya terhadap kehilangan dana, pada Mac 2020, membawa kepada satu lagi kes disyaki pecah amanah membabitkan RM1 juta milik Armada.
Ambiga Sreenevasan, Gobind Singh Deo dan Lim Wei Jiet mewakili Syed Saddiq, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin, mengetuai pasukan pendakwaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid bersambung esok.