
Menerusi kenyataan, Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) mendakwa, syarikat yang menerima PSU tidak sepatutnya menghentikan pekerja namun sebaliknya berlaku.
“Nufam menggesa Perkeso menjalankan satu audit terhadap syarikat yang menerima bantuan tetapi menghentikan pekerja mereka.
“Nufam mengesyaki ada isu tidak kesamarataan dalam hal pemberian bantuan PSU Covid-19 kerajaan kepada pekerja ini. Ada pula syarikat penerbangan menerima geran kerajaan sehingga setengah juta ringgit melalui bantuan PSU tetapi ramai pekerja dikatakan tidak menerima maklumat mengenai bantuan tersebut,” dakwanya.
Nufam mendakwa, terdapat juga kakitangan syarikat penerbangan tidak menerima gaji sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Masih ramai juga pekerja dicutikan sehingga akhir tahun 2022 dan ada yang hanya menerima gaji RM500 sebulan. Masalah ini harus diambil perhatian oleh agensi Kementerian Sumber Manusia kerana ramai pekerja dianiayai.
“Ini sungguh tidak masuk akal kerana semua syarikat penerbangan telah beroperasi dengan sepenuhnya dan mengapa masih tidak membayar gaji penuh?, soal Nufam.
Kumpulan itu mendakwa, alasan syarikat penerbangan memberhentikan pekerja kru kabin kerana berat badan juga mempunyai niat jahat.
“Ramai antara pekerja wanita kru kabin yang diberhentikan masih mengalami hidup susah angkara sikap majikan tidak mempunyai sifat peri kemanusiaan,” katanya.
Nufam turut mendakwa, ramai pekerja kru kabin yang diberhentikan kononnya dijanji akan diambil semula tetapi malangnya selepas hadir sesi temuduga mereka dikatakan tidak layak.
“Mengapa pula pekerja yang berpengalaman lama tiba-tiba pula dikatakan tidak layak walhal mereka inilah yang berpengalaman dan bekerja bertahun lama dengan syarikat tersebut.
“Taktik yang diguna pakai ‘buang pekerja yang lama, ambil yang baru’ oleh syarikat penerbangan ini adalah eksploitasi terhadap pekerja dengan hanya mahu membayar gaji pekerja dengan lebih rendah,” katanya.