Kenapa SPRM tak siasat dari awal nama ‘pemimpin tinggi’ dalam lejar UKSB, soal peguam

Kenapa SPRM tak siasat dari awal nama ‘pemimpin tinggi’ dalam lejar UKSB, soal peguam

Haniff Khatri Abdulla persoal mengapa SPRM tidak memulakan siasatan mendalam terhadap kandungan buku lejar UKSB ketika bahan bukti itu berada dalam penguasaan mereka.

Haniff Khatri Abdulla berkata pendakwaan sudah menyoal saksi berhubung buku lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang menjadi bahan bukti dipegang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sejak awal.
PETALING JAYA:
Seorang peguam mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tidak menyiasat sepenuhnya kandungan buku lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika agensi itu melakukan siasatan terhadap Ahmad Zahid Hamidi pada 2018.

Haniff Khatri Abdulla berkata, saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu, David Tan, sudah pasti menyerahkan buku lejar terbabit kepada SPRM sebagai barang kes semasa siasatan awal dilaksanakan.

Tan memberitahu mahkamah, minggu lalu, komputer riba miliknya mengandungi buku lejar itu memaparkan senarai penerima bayaran, selain salinan pendua disimpan dalam pemacu pena USB, dirampas SPRM, pada Oktober 2018.

“Bukankah pihak pendakwa raya sendiri telah menampilkan buku lejar UKSB (yang dikatakan mengandungi nama pemimpin lain yang menerima wang daripada UKSB) semasa soal utama saksi pendakwaan ke-17, David Tan?

“Maka, bukankah ini bermaksud buku lejar UKSB itu adalah antara barang kes yang sudah lama diperoleh SPRM semasa siasatan awal kes ini?

“Isunya adalah, mengapa pihak siasatan SPRM pada masa itu tidak mendalami dan tidak siasat semua nama lain yang ada dalam buku lejar UKSB itu? soal Haniff dalam hantaran di Facebook.

Haniff juga membangkitkan persoalan sama ada SPRM akan melakukan siasatan dalaman berhubung kandungan buku lejar berkenaan tidak disiasat lebih awal ketika bahan bukti itu dalam tangan agensi terbabit.

“Adakah SPRM akan menyiasat SPRM sendiri di atas pengakuan sukarela SPRM sendiri bahawa buku lejar yang ada dengan saksi pendakwaan ke-17 sejak awal siasatan, tidak disiasat berhubung semua nama pemimpin politik lain yang telah menerima wang daripada UKSB?

Ulasannya merujuk kepada keterangan Tan dalam perbicaraan minggu lalu, di mana bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, bekas menteri luar Anifah Aman dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, merupakan antara penerima dana daripada UKSB.

Tan berkata, pembayaran kepada Muhyiddin dibuat antara Jun dan Ogos 2018. Ketika tempoh itu disebut, presiden Bersatu itu menjadi menteri dalam negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Nama lain disebut dalam perbicaraan itu turut membabitkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Terdahulu, Tan dalam keterangannya berkata, beliau menyimpan lejar pembayaran dibuat kepada Zahid antara 2014 dan 2018 dalam komputer riba miliknya.

Katanya, nama lain dinamakan dalam lejar itu merangkumi “menteri, ahli politik dan penjawat awam”.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN), serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu kepada syarikat sama oleh kementerian berkenaan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid dituduh sebagai menteri dalam negeri menerima untuk dirinya SGD1,150,000, RM3 juta, €15,000 dan USD15,000 dalam bentuk wang tunai daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.