
Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dan penyelidik di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun menyifatkan langkah yang menelan subsidi kira-kira RM155 juta itu adalah “gula-gula pilihan raya”.
Fauzi berkata, ia adalah langkah populis oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kerana dana kerajaan berkurangan selepas pandemik.
“Tetapi, apa yang anda harapkan daripada seorang perdana menteri yang majoriti Parlimennya kekal rapuh di tengah-tengah ketidaktentuan memuncak akibat perselisihan berterusan partinya dengan Bersatu?” katanya.
Oh berkata, dari segi definisi, hadiah seperti itu adalah populis dan Ismail memerlukan sokongan kerana rakyat Malaysia sukar mengingati apa yang dilakukannya setakat ini, selain membatalkan permit import makanan.
Beliau tidak merasakan langkah itu akan meningkatkan peluang Ismail untuk mengekalkan jawatannya selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Baik Umno mahupun rakyat umum kelihatan tidak berminat mengekalkan beliau sebagai perdana menteri. Beliau tidak memberikan kesan positif dari segi karisma dan dasar,” katanya kepada FMT.
Selain itu, Fauzi percaya langkah sedemikian akan meningkatkan reputasi Ismail, apabila popularitinya semakin pudar berbanding Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri, Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad.
“Ia adalah langkah baik oleh Ismail untuk membuang imejnya sebagai ‘menteri PKP’,” katanya merujuk ketika pengumuman Ismail berhubung pelbagai perintah kawalan pergerakan ketika menjadi ketua jurucakap kerajaan mengenai Covid-19 pada awal pandemik itu.
Putrajaya akan membelanjakan RM155 juta untuk memberi subsidi tambang percuma perkhidmatan bas dan tren di Lembah Klang selama sebulan, termasuk MRT, LRT, BRT, Monorel, bas RapidKL serta perkhidmatan KTM.
Fauzi dan Oh berbelah bahagi sama ada ini adalah petunjuk PRU15 semakin hampir, dengan Fauzi percaya kemungkinan besar PRU15 akan diadakan akhir tahun ini.