
Perunding Rosli Azad Khan dan Goh Bok Yen berkata, mereka percaya orang ramai sudah terlalu biasa menggunakan kenderaan sendiri.
Kedua-duanya mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas inisiatif itu yang diumumkan perdana menteri semalam, namun kata Rosli, isunya bukan hanya mengenai jumlah penumpang.
“(Isunya adalah) mengenai mempopularkan pengangkutan awam dan menyedarkan rakyat Malaysia bahawa terdapat alternatif lebih baik daripada kenderaan milik persendirian,” katanya.

Untuk meningkatkan jumlah penumpang, kerajaan harus bersedia untuk mengambil langkah tidak popular untuk tidak menggalakkan penggunaan kereta, sebaliknya menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Dalam jangka panjang, ini mungkin termasuk memansuhkan subsidi minyak, meningkatkan kadar caj tempat letak kenderaan, yang kemudiannya boleh disalurkan kepada langkah memudahkan pengangkutan awam, dan mengenakan caj kesesakan kepada kenderaan yang masuk ke pusat bandar,” katanya.
Rosli turut mencadangkan agar pihak berkuasa meluluskan penggunaan kedua-dua perkhidmatan e-panggilan motosikal dan kenderaan mobiliti mikro peribadi.
“Dalam jangka pendek, pemimpin dalam kerajaan mesti bersedia untuk memimpin melalui teladan dan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Goh menyifatkan langkah itu sebagai kempen kesedaran yang baik.
Beliau berkata, tempoh sebulan sepatutnya cukup untuk membolehkan penumpang membiasakan diri dengan tahap perkhidmatan dan kemudahan RapidKL sepenuhnya.

“Dengan empat hujung minggu dan 25 hari bekerja, mereka akan mempunyai masa yang cukup untuk meneroka sistem itu sendiri dan bebas pergi ke setiap titik yang boleh mereka akses,” katanya.
Bagaimanapun bagi meningkatkan jumlah penumpang melebihi tempoh pengecualian tambang, beliau mencadangkan agar kerajaan menawarkan insentif bagi penggunaan pengangkutan awam dan langkah sebaliknya bagi penggunaan kereta persendirian.
“Jika mahu orang ramai beralih (kepada pengangkutan awam), ia sebenarnya adalah usaha jangka panjang,” katanya selain menambah bahawa budaya pemilikan kenderaan tidak terpengaruh oleh penggunaan pengangkutan awam.
Dalam jangka pendek kata Goh, kerajaan harus mengkaji untuk mengisi jurang semasa dalam pengangkutan awam seperti kesalinghubungan antara destinasi pertama dan terakhir.
“Dalam jangka panjang, apabila sistem itu lebih lengkap, ia boleh mula mengguna pakai strategi sekatan kenderaan persendirian dan menjadikan permotoran lebih mahal.
“Sebagai contoh, di daerah pusat perniagaan Singapura, jika sebuah kereta dinaiki lebih daripada tiga orang, (caj) tempat letak kenderaan adalah percuma, tetapi jika hanya seorang, perlu bayar,” katanya.