
Pengumuman syarikat itu mengenai pelantikannya adalah “palsu, tidak benar dan mengelirukan”, katanya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Caely mengumumkan pelantikan Jovian sebagai naib pengerusi eksekutifnya.
Menurut Jovian, dalam mesyuarat yang dihadirinya dengan pengerusi eksekutif kumpulan Caely, Loh Ming Choon pada Isnin, beliau ditawarkan jawatan naib pengerusi eksekutif untuk mengetuai rombakan bahagian pakaian syarikat itu.
Bagaimanapun katanya, “tiada persetujuan lisan muktamad” mengenai tawaran itu dicapai.
“Saya tidak bersetuju untuk menerima pelantikan sebagai naib pengerusi eksekutif Caely,” kata Jovian dalam kenyataan.
“Saya ingin menegaskan lagi bahawa saya tidak melaksanakan sebarang borang dan/atau perjanjian yang menunjukkan saya menerima pelantikan tersebut.”
Pereka fesyen itu berkata, pengumuman yang dibuat Caely itu mencemarkan “reputasi korporat, perniagaan dan peribadinya”.
“Saya akan mendapatkan nasihat perundangan mengenai perkara ini untuk meneruskan sebarang cara yang perlu bagi melaporkan salah laku tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Caely menyaksikan rombakan lembaga pengarah pada Rabu yang membawa kepada penyingkiran sembilan pengarah dan pelantikan empat pengarah baharu.