
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, RUU itu akan dibawa ke Dewan Rakyat Julai ini.
“Tindakan melompat parti, terutama pasca pilihan raya umum ke-14 telah merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian perayaan jubli emas Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.
Pada 9 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu akan dibentangkan 18 Julai.
Kata Wan Junaidi, tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan RUU itu.
Katanya, antara faktor yang dipertimbangkan adalah kos untuk melaksanakan Mesyuarat Khas bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mencecah kira-kira RM1,077,600.00, tidak termasuk kos operasi.
Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan turut meneliti RUU sumbangan politik bagi memantapkan integriti politik.
“Pengawalseliaan ini boleh meningkatkan ketelusan sumbangan politik di negara kita. Ini dapat mengurangkan risiko rasuah serta apa-apa penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengannya,” katanya.
Dalam ucapannya, Ismail turut memberi jaminan kebebasan badan kehakiman dan legislatif akan terus dipelihara dan bersedia membantu badan itu untuk terus melakukan transformasi, demi memastikan pengasingan kuasa dan sistem perundangan terus dimartabatkan.
“Setiap dasar yang digubal kerajaan berpaksikan roh dan semangat kebersamaan dengan mengambil kira kepentingan setiap agama, kaum dan seluruh Keluarga Malaysia.
“Begitu juga undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat, ia dibahas dengan roh dan semangat yang sama oleh ahli Dewan.
“Justeru, badan kehakiman perlu mengambil kira roh dan semangat yang sama ketika membuat interpretasi kepada undang-undang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, bagi memastikan Parlimen dapat berfungsi dengan sempurna, Ismail berkata, kerajaan akan membantu institusi itu untuk melakukan transformasi, antaranya membabitkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 bagi memberi kebebasan kepada Parlimen.
“Sebagai contoh, kerajaan sudah pun melakukan perubahan dalam Parlimen apabila menubuhkan 16 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, berbanding hanya lima sebelum ini.
“Kita juga bersetuju Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1993 untuk mengurus pentadbiran dan kewangan Parlimen akan diperkenalkan semula bagi memperkasakan peranan Parlimen,” katanya.