
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Damien Thanam berkata, dua menteri dari Kelantan itu juga perlu mencari jalan supaya negeri berkenaan tidak hanya bergantung pada aktiviti balak untuk menambahkan pendapatan hasil negeri.
“PEKA tiada kepercayaan langsung dengan pentadbiran negeri Kelantan sekarang dalam isu perlindungan khazanah alam, tetapi berharap kerajaan persekutuan dengan menteri KeTSA dan KASA sendiri masuk campur untuk menyelesaikan masalah kewangan negeri daripada hasil pembalakan yang memusnahkan khazanah alam negeri.
“Pelbagai akta dan peraturan untuk melindungi khazanah alam dikeluarkan oleh KeTSA dan KASA. Tiada gunanya jika menteri terlibat tidak dapat menjadikan negeri mereka sendiri sebagai contoh dalam melindungi khazanah alam,” katanya kepada FMT.
Beliau juga mendakwa kepimpinan kerajaan negeri tidak berkaliber apabila menjadikan hasil hutan sebagai sumber utama negeri, sedangkan ia sepatutnya memelihara alam sekitar dan menggunakan khazanah alam tersebut tanpa mengorbankan hutannya.
Mengulas dakwaan bahawa wujud aktiviti pembalakan haram di negeri itu, Damian berkata: “Kerajaan Kelantan dicabar untuk mengisytiharkan moratorium pembalakan negeri terlebih dahulu dengan menuntut daripada kerajaan pusat bayaran ganti rugi akibat pemberhentian aktiviti pembalakan. Ini akan memberikan ruang kepada pihak penguatkuasaan untuk menjejak pembalakan yang masih berlaku dan menangkap pembalak haram.”
Beliau bagaimanapun tidak menolak isu sama turut berlaku di negeri lain, walaupun Kelantan sering menjadi sasaran dan mendapat perhatian berkaitan aktiviti pembalakan.
Katanya, setiap kawasan rancangan pembalakan di semua negeri khususnya Kelantan, Pahang dan Kedah wajar dikaji oleh kerajaan pusat dengan pendapatan hasil pembalakan itu dibayar terus ke perbendaharaan negeri.
“Ini mesti dilakukan dengan jaminan kawasan yang dibayar ganti rugi untuk tidak dibalak itu akan menjadi hutan simpan kekal (HSK) yang dilindungi, yang secara tidak langsung akan melupuskan elemen rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata, aktiviti pembalakan di HSK Nenggiri yang didedahkan baru-baru ini adalah secara berlesen, selain aktiviti pembalakan berlaku sejak sekian lama memandangkan ia adalah sebahagian daripada hasil kerajaan negeri.
“Semua yang kita lakukan di HSK Nenggiri mengikut peraturan yang ditetapkan dan Kelantan juga tidak pernah membuat tebangan balak melebihi catuan tebangan tahunan yang ditetapkan,” katanya.