Selepas 3 tahun, keluarga tuntut siasatan kematian pengasas Dnars

Selepas 3 tahun, keluarga tuntut siasatan kematian pengasas Dnars

Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand, 18 Mei 2019.

Keluarga allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang juga pengasas produk kecantikan, Dnars Skincare, mendapati kematiannya diragui dan mengesyaki ada unsur lain. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Selepas tiga tahun kematian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, allahyarham Faziani Rohban Ahmad, keluarganya bertindak membuat laporan polis menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematiannya.

Laporan polis itu dibuat 1 tengah hari, hari ini, di Balai Polis Tumpat, Kota Bharu.

Ahli keluarga allahyarham ketika dihubungi, mengesahkan membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut terhadap kematian Faziani yang disyaki ada unsur lain.

“Selepas kematian allahyarham, kami ahli keluarga melantik peguam untuk mendapatkan maklumat dan hasil dapatan peguam terbabit, mendapati kematian allahyarham diragui.

“Kami mengesyaki kematian allahyarham bukan disebabkan kemalangan semata-mata sebaliknya ada unsur lain yang menyebabkan kami tampil membuat laporan polis.

“Susulan laporan dibuat, saya juga sudah memberi keterangan kepada pihak polis hari ini dan kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Tumpat Amran Dolah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat keluarga allahyarham.

Katanya, pihaknya akan merujuk laporan berkenaan ke Bahagian Perundangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terlebih dahulu memandangkan kes berkenaan berlaku di Thailand.

Media sebelum ini melaporkan, pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban meninggal dunia, manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand, pada 18 Mei 2019.

Faziani maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim, cedera.

Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dan sebuah lori. Allahyarham dikatakan dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.