KPM jalankan ‘post mortem’ cari punca 24,941 calon tidak duduki SPM 2021

KPM jalankan ‘post mortem’ cari punca 24,941 calon tidak duduki SPM 2021

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin mendedahkan, majoriti calon yang tidak menduduki SPM adalah calon persendirian.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, punca perlu dikenal pasti memandangkan kohort SPM 2021 paling terkesan dengan pandemik Covid-19.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan “post-mortem” bagi mengenal pasti punca sejumlah 24,941 calon berdaftar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tidak menduduki peperiksaan itu, kata Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin.

Beliau berkata, majoriti calon yang tidak menduduki peperiksaan itu adalah calon SPM persendirian.

“Kita (KPM) sedang menganalisis data dan akan meneliti trend tahun-tahun sebelum ini. Jika ada peningkatan, kita akan ambil pendekatan untuk elak ia berulang pada masa akan datang.

“Punca perlu dikenal pasti memandangkan kohort SPM 2021 adalah paling terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1) di sini sempena pengumuman keputusan SPM hari ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Nor Zamani Abdol Hamid dalam sidang media mengenai keputusan SPM 2021 hari ini berkata, terdapat 24,941 calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 calon yang berdaftar.

Ditanya faktor yang mendorong seseorang pelajar tidak menduduki SPM, Radzi berkata, ada antara pelajar terbabit menghadapi masalah peribadi, masalah keluarga dan masalah kewangan.

Radzi berkata, pihaknya sentiasa mendekati pelajar dan keluarga yang dikenal pasti mempunyai masalah sehingga menyebabkan pembelajaran terganggu dan tidak dapat meneruskan pengajian atau tidak menduduki peperiksaan khususnya SPM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.