
Walaupun hospital terdekat cuma 10 minit jaraknya dari flat kediaman mereka di Pandan Indah, beliau perlu terlebih dahulu turun tangga sebanyak lapan tingkat sambil mendukung anak kesayangannya dengan berhati-hati sebelum dapat menaiki kenderaan e-panggilan.
“Doktor mengingatkan bahawa tulang belakang saya juga akan cedera menyebabkan saya tidak dapat menjaga Yaashika lagi. Saya tahu semua ini, namun tidak berdaya,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, Yaashika – yang namanya membawa maksud “pejuang”- sudah biasa melawat hospital memandangkan dia menghadapi pelbagai masalah perubatan sejak dilahirkan.
Pada usia dua tahun, Yaashika terpaksa menjalani pembedahan kerana tengkoraknya tidak membesar secukupnya untuk menampung otaknya yang semakin membesar. Dia telah menjalani prosedur trakeostomi dan gastrostomi.
Kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak mampu berjalan atau bercakap selain kurang upaya pendengaran serta penglihatan.
Akibatnya, Yaashika hanya mampu menghabiskan setiap hari terkurung dalam biliknya dengan dipantau ibunya dan ditemani patung mainan serta pelekat dinding yang berwarna-warni.
Kogila menghadapi kesukaran mencari rezeki sambil memantau Yaashika di rumah. Selain perlu diberi makan setiap empat jam, Yaashika juga perlu dipantau pada setiap masa untuk memastikan dia bernafas dengan betul memandangkan sedikitpun sekatan terhadap salur udaranya boleh membawa maut.

Selepas perceraiannya tahun lalu, Kogila menjalankan perniagaan makanan di rumah, namun terpaksa berhenti kerana asap yang terhasil ketika memasak menjejaskan pernafasan Yaashika. Malah kanak-kanak itu terpaksa dimasukkan ke hospital pada Oktober dalam kejadian yang nyaris meragut nyawanya.
“Anak saya pesakit trakeostomi jadi dia sangat lemah. Asap, termasuk diakibatkan masakan atau e-rokok langsung tidak boleh diterima badannya.
“Dia kerap terkena jangkitan dan terpaksa dimasukkan ke wad,” kata ibu berusia 41 tahun itu.

Ketika Yaashika bertarung nyawa, doktor yang merawat anaknya memberitahu bahawa masanya mungkin tiba apabila beliau terpaksa membuat keputusan sukar sama ada membiarkan anaknya terus menderita atau “melepaskannya”.
Kogila mengakui perbualan itu meruntun jiwanya, namun beliau tetap bersemangat untuk memastikan anaknya terus hidup selain menghabiskan masa yang ada bersama.
“Dari saat itu saya memutuskan mahu menghabiskan setiap detik dengannya. Saya tidak mahu membuang masa lagi,” katanya sebak.
Kogila kemudian memutuskan untuk berniaga pakaian tradisional India secara dalam talian, namun hanya dapat meraih RM100 hingga RM150 sebulan, iaitu jauh kurang berbanding hasil ketika berniaga makanan.

Katanya, perkara paling dibimbangkan adalah memastikan beliau mempunyai wang yang mencukupi untuk keperluan Yaashika, termasuk lampin, susu formula, kerusi roda khas, selain peralatan perubatan seperti kateter, penapis trakeostomi dan mesin penyedut kahak.
Walaupun menerima wang setiap bulan daripada bekas suami, selain bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia masih tidak cukup untuk kos perubatan Yaashika yang mampu mencecah sehingga RM2,000 sebulan.
Bagi mereka yang ingin membantu S Kogila, hubungi kami menerusi pesanan WhatsApp di Helpline FMT di 0193899839.