Konsep diyat semai nilai belas ihsan, kata ADUN PKR

Konsep diyat semai nilai belas ihsan, kata ADUN PKR

ADUN Kebun Bunga Ong Khan Lee berkata konsep diyat adalah langkah positif untuk bergerak ke arah masyarakat yang aman dan adil.

ADUN Kebun Bunga Ong Khan Lee berkata, diyat dilihat dapat menyemai rasa belas ihsan dalam diri seperti diterapkan dalam al-Quran. (Facebook pic)
PETALING JAYA:
Wakil rakyat PKR, Ong Khan Lee menyokong pelaksanaan konsep diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah) sebagai hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori.

ADUN Kebun Bunga itu berkata, penerapan nilai belas ihsan wujud dalam setiap agama utama, justeru konsep diyat adalah langkah positif untuk bergerak ke arah masyarakat yang aman dan adil.

“Sebagai seorang peguam, bukan Islam dan Kristian, saya menyokong pampasan diyat sebagai alternatif kepada hukuman mati,” katanya dalam kenyataan.

Ong berkata, masyarakat dengan nilai belas ihsan dan pemaaf adalah jauh lebih baik berbanding masyarakat yang tertumpu kepada hukuman semata-mata.

Katanya, meskipun keluarga mangsa mungkin tidak berpuas hati dengan pampasan kewangan, bagaimanapun ia dilihat dapat menyemai rasa belas ihsan dalam diri mereka seperti diterapkan dalam al-Quran.

“Al-Quran menekankan beberapa kata kunci seperti ‘rahmah’, ‘ihsan’ dan ‘hikmah’, dengan sifat pengasih, penyayang, pemurah, adil dan bijaksana adalah teras kepada ajaran Islam,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dilaporkan berkata, pertimbangan berkenaan konsep diyat akan dibincangkan secara lebih mendalam.

“Konsep diyat sudah berada dalam kitab fikah terutama yang membabitkan hukuman qisas (hukuman yang melibatkan hukuman balas), seperti katakan ada seorang A yang membunuh B. Dia diberikan tiga pilihan, iaitu pertama hukuman bunuh, kedua membayar diyat dan ketiga dimaafkan.

“Bagaimanapun perkara ini masih lagi dalam proses perbincangan dan akan diuruskan oleh Bahagian Undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.