Bekas ketua bahagian PKR Sarawak diberi surat tunjuk sebab

Bekas ketua bahagian PKR Sarawak diberi surat tunjuk sebab

Iswardy Morni didakwa pertikai keputusan parti terima peletakan jawatan Naib Pengerusi PKR Sarawak, dan buat tuduhan berkait dana PRU16.

Iswardy Morni secara sini meminta PKR mengemukakan ‘tuduhan yang lebih kuat’ terhadapnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemimpin PKR telah diberikan surat tunjuk sebab oleh jawatankuasa disiplin parti susulan kenyataannya mengenai peletakan jawatan seorang pemimpin PKR Sarawak serta dana bagi PRU akan datang.

Iswardy Morni didakwa mempertikaikan keputusan parti menerima peletakan jawatan Naib Pengerusi PKR Sarawak, Daniel Jani Unggu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Daniel meninggalkan parti itu awal bulan ini.

Iswardy juga didakwa membuat tuduhan bahawa ratusan juta ringgit akan disalurkan kepada parti bagi menghadapi PRU akan datang di seluruh negara, satu dakwaan yang dirakam dalam bentuk video.

Susulan itu, satu aduan telah dibuat terhadapnya.

“Tindakan saudara menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan imej PKR,” kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Zainol Samah, dalam surat yang dikeluarkan kepada Iswardy.

Beliau mengarahkan Iswardy memberikan penjelasan secara bertulis kepada jawatankuasa disiplin dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat tersebut dikeluarkan.

“Sekiranya tiada maklum balas daripada saudara, jawatankuasa disiplin akan mengemukakan cadangan tindakan disiplin berbentuk amaran, penggantungan atau pemecatan untuk pertimbangan Majlis Pimpinan Pusat,” katanya.

Dalam satu hantaran di Facebook, Iswardy berkata beliau hanyalah ahli biasa yang dihalang daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya Sarawak dan pemilihan parti selepas digantung keahlian selama setahun tanpa proses sewajarnya.

Bekas ketua bahagian Petra Jaya itu kemudiannya secara sinis meminta parti mengemukakan tuduhan yang lebih serius terhadapnya.

“Lain kali tuduhan itu cari yang kuat sikit, atau memang tak jumpa yang kuat?” katanya.

Iswardy, yang dikenali lantang bersuara mengenai isu nasional dan parti, melepaskan semua jawatan partinya pada Februari selepas didenda RM5,000 pada Januari kerana menghina Yang di-Pertuan Agong empat tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.