Dipenjara 7 hari ubah tarikh lawatan anak, bekas isteri SM Faisal fail semakan kehakiman

Dipenjara 7 hari ubah tarikh lawatan anak, bekas isteri SM Faisal fail semakan kehakiman

Emilia Hanafi memfailkan semakan itu bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya.

Emilia Hanafi menamakan bekas suami SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, bekas ibu mentua Zaleha Ismail dan lima pihak lain sebagai responden.
PETALING JAYA:
Bekas isteri seorang ahli perniagaan terkemuka memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana mengubah tarikh lawatan anak untuk bersama bapa mereka.

Emilia Hanafi, 43, selaku pemohon menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tiada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman itu kerana beliau menetap di Kajang, Selangor, bukan di Wilayah Persekutuan.

Permohonan bekas isteri Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, SM Faisal SM Nasimuddin Kamal bagi mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Julai ini di depan hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

Pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi pada 8 Jun lalu.

Ibu tiga anak itu menamakan SM Faisal, 43, bekas ibu mentuanya, Zaleha Ismail, 70, dan lima pihak lain sebagai responden, menurut laporan Utusan Malaysia.

Turut dinamakan sebagai responden iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan kerajaan Malaysia.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes. Emilia diwakili oleh peguam Nizam Bashir manakala Ummi Kartini Abdul Latiff mewakili SM Faisal dan Zaleha sementara Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili kerajaan.

Dalam permohonan itu, Emilia menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya mempunyai bidang kuasa mahkamah tempatan yang terhad berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Emilia memohon suatu deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital dan menghukum individu yang bukan pemastautin Wilayah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Emilia memohon suatu perintah larangan untuk menahan prosiding komital syariah, iaitu permohonan kebenaran mengeluarkan Notis Tunjuk Sebab (NTS) di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan oleh SM Faisal.

Turut dipohon ialah satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan itu dan NTS yang telah dimeterai.

Emilia juga memohon membatalkan semua surat, notis, arahan, perintah atau arahan yang mesti dipatuhi atau arahan lain yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur.

Beliau juga memohon satu perintah interim untuk menggantung semua prosiding dan pelaksanaan apa-apa perintah bagi prosiding syariah sementara menunggu pelupusan muktamad pendengaran prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anaknya dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.